Tunggakan gaji: Jangan 'beri muka' kepada persatuan bermasalah - Khalid Ali - Sukan | mStar

Tunggakan gaji: Jangan 'beri muka' kepada persatuan bermasalah - Khalid Ali

Khalid Ali

BIARPUN Liga Malaysia semakin rancak sejak ia membuka tirainya awal bulan ini, isu gaji pemain yang telah sekian lama diperkatakan juga tidak kurang rancaknya.

Keluhan beberapa pemain tempatan yang masih belum menerima gaji tunggakan atau gaji semasa mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

Terbaharu, PFAM dilaporkan bercadang mewujudkan tabung khas dengan sumbangan minimum RM1 bagi mengumpul dana membantu pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji.

Namun cadangan tersebut dipertikaikan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Ali yang menganggap isu tunggakan ini adalah masalah persatuan masing-masing.

Khalid yang juga pengkritik bola sepak tempatan merasakan rakyat tidak sepatutnya dibebani dengan masalah itu walaupun sumbangan mereka hanya bernilai RM1.

"Jika dilaksanakan, ia diibaratkan kejatuhan moral liga profesional kita. Sepatutnya  FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) sudah lama bertindak lebih tegas kepada persatuan-persatuan yang bermasalah.

"Contohnya Perlis yang sememangnya kita tahu sudah mempunyai rekod hutang gaji pemain. Pada saya jika ada persatuan yang tidak mampu membayar gaji pemain, tidak perlu mengambil pemain-pemain profesional yang bergaji mahal.

"Sebab itu saya cadangkan kepada FAM dan MFL adakan satu liga profesional dan liga amatur.

"Liga amatur ini dikhaskan kepada pasukan yang tidak berkemampuan beraksi dalam liga profesional seperti sekarang," jelasnya ketika  dihubungi mStar Online.

Khalid memberitahu sudah sampai masanya badan induk bola sepak negara tidak 'beri muka' kepada persatuan-persatuan bermasalah.

Sehingga kini jumlah hutang terhadap pemain mencecah jutaan ringgit melibatkan enam pasukan iaitu Terengganu City FC, FELDA United, PDRM, Pulau Pinang dan Perlis.

Khalid Ali , dana gaji pemain

Artikel Sebelum

Lebih Artikel

Ibu muda lahirkan bayi kembar tujuh