suria

Kuching FA ungguli kemaraan 7 pasukan amatur ke pusingan pertama Piala FA 2019

Foto Facebook Kuching FA.

PASUKAN Liga M3, Kuching FA mengetuai kemaraan tujuh pasukan amatur ke pusingan pertama Kejohanan Bola Sepak Piala FA 2019, Sabtu.

Kuching FA mara ke pusingan pertama setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi penuh perlawanan di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

Dalam pada itu, satu lagi wakil kelab M3, Kelantan United turut mengesahkan tempat ke pusingan pertama Piala FA setelah menundukkan Selangor FC 4-1 pada aksi di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya, Selangor.

Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi muncul wira pasukan pelawat apabila meledak jaringan hatrik pada minit ke-17, 60' dan 87' serta gol Shamsul Kamal Mohamad pada minit ke-33.

Selangor FC meraih gol sagu hati menerusi Khairul Effendy Bahrin pada minit ke-19.

Lain-lain keputusan menyaksikan Banggol Tokku menewaskan SA United 4-1 di Stadium Mini Kuala Berang, Hulu Terengganu; PIB FC menang selesa 5-0 ke atas Ampang United di Stadium UPM, Serdang, manakala MPKj FC menewaskan Kingstown Klang 2-1 di Stadium MMU, Cyberjaya.

Dua lagi perlawanan berkesudahan Kuatagh FC tewas 0-2 kepada FC Pemanis di Stadium Mini Mindef, Kuala Lumpur, manakala Raja Permin FC kecundang 3-5 kepada Klasiko FC di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Sebanyak 11 lagi perlawanan pusingan kelayakan akan berlangsung esok.

Untuk rekod, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengubah format Piala FA yang menyaksikan penyertaan 38 pasukan amatur yang akan berentap dalam pusingan kelayakan Piala FA yang diperkenalkan pada 1990.

Daripada jumlah berkenaan, 14 merupakan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga M3, manakala 24 pasukan lagi adalah pasukan daripada Liga M4. - Bernama

Kuching FA, Liga M3

Artikel Lain