suria

"Jaga periuk nasi sendiri, jangan dedah jumlah gaji" - Pesan Bibi kepada pemain TRW

Barisan pemain tempatan dan import pasukan Kelantan memperagakan jersi baharu pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Kelantan The Red Warriors Musim 2019 Sabtu lalu. Foto: Bernama

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan menyampaikan amanat penting kepada pemain pasukannya sebelum sepak mula aksi Liga Perdana musim ini.

Bibi mengulangi pesanan kepada skuad The Red Warriors (TRW) supaya jangan hampakan orang yang telah membantu pasukan musim ini.

"Pertama sekali, ini rezeki Allah hantar untuk bantu kita dengan keyakinan yang telah kamu semua tunjukkan.

"Orang yakin dengan kita. Jadi jangan kecewakan mereka.

"Kita sekarang ke arah penswastaan dan saya masih lagi presiden Kafa, tetapi dari segi perbelanjaan, gaji bukan urusan saya. Ia akan dikendalikan oleh KRW (Kelantan Red Warrior Sdn Bhd ).

"Lepas ni ada masalah gaji ke apa, jangan cari saya lagi," ujarnya berseloroh kepada pemain.

Jelas Bibi, Kafa tidak dibantu mana-mana pihak sebelum ini termasuk kerajaan negeri.

"Saya bersyukur kepada semua. Bukan mudah nak dapat macam ni.

"Kalau negeri lain akan dapat suntikan daripada pihak negeri, tetapi kita putih mata sahaja.

"Jadi saya harap dengan kehadiran KRW, kita mohon kepada anda semua untuk sama-sama bantu pasukan dan balas apa yang mereka berikan," katanya pada pertemuan dengan semua pemain pada Sabtu.

Pada majlis ringkas itu, pemain-pemain juga menerima bayaran gaji masing-masing.

Bibi juga berpesan kepada pemain supaya menjaga periuk nasi masing-masing.

"Bekas-bekas (pasukan) akan tanya awak semua sama ada sudah dapat gaji atau belum. Saya harap kamu semua jaga periuk nasi sendiri sebelum jaga periuk nasi orang lain.

"Dan satu lagi jumlah gaji yang diterima berbeza-beza, jadi jangan dedahkan kepada orang lain," jelasnya.

Malahan, beliau juga berjanji akan menyelesaikan isu tunggakan gaji sebelum ini.

KRW menjalin kerjasama dengan Kafa musim ini bagi menguruskan kewangan dan perbelanjaan pasukan.

Kelantan bakal beraksi dalam Liga Premier musim ini selepas tersingkir dari Liga Super musim lalu.

Mereka bakal membuka tirai perlawanan pertama bertemu Selangor United pada Sabtu.

Bibi Ramjani, kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain