suria

Cheng Hoe akui pemain hilang fokus punca dua gol lawan, tetap optimis di Vietnam

Pemain-pemain Harimau Malaya memberi penghormatan kepada penyokong yang hadir selepas perlawanan.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Malaysia Tan Cheng Hoe mengakui hilang fokus punca Vietnam menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil Selasa malam.

Bagaimana pun pengendali berusia 50 tahun itu memuji pemain-pemainnya yang bangkit mengejar lawan menyamakan kedudukan sehingga wisel penamat.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Pada awal permainan pemain-pemain sedikit hilang fokus  sehingga lawan dapat menjaringkan gol.

“Vietnam satu pasukan yang sukar dan kuat. Tetapi sebagai jurulatih saya optimis dengan pemain-pemain pada aksi kedua di Hanoi nanti. Kita masih lagi mempunyai 90 minit permainan.

“Kerja belum selesai lagi. Kita akan perbaiki kelemahan dan cuba mendapatkan keputusan yang baik,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Tan Cheng Hoe

Sementara itu, penyerang Safawi Rashid yang menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma mengakui gembira kerana dapat membantu pasukan.

Gol kedua negara itu merupakan gol pertama Safawi sepanjang kejohanan ini berlangsung.

“Ia adalah hasil kerjasama daripada rakan-rakan sepasukan. Bagi saya siapa yang menjaringkan gol, tidak penting janji kita menang.

“Tetapi malam ini kita seri dan saya positif akan melakukan yang lebih baik di Hanoi nanti,” katanya.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan dengan Vietnam di Hanoi Sabtu ini bagi penentuan menjulang trofi Piala AFF Suzuki 2018.

Kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan dwi tahunan ini pada tahun 2010.

Tan Cheng Hoe, Piala AFF

Artikel Lain