suria

Ulat tiket: Jangan beli!

Stuart (gambar kecil) berpandangan kegiatan 'ulat tiket' tidak akan berkesudahan selagi ada permintaan terhadapnya.

PETALING JAYA: Kegiatan 'ulat tiket' menjual semula tiket perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 pada harga tidak munasabah sukar dibendung selagi ada permintaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, tiada siapa yang dapat menghalang ulat tiket daripada mengambil kesempatan ke atas mereka yang terdesak ingin mendapatkan tiket selagi ada pihak yang sanggup untuk membayarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesej ulat tiket Piala AFF online: “Abaikan jika mahal. Tiada paksaan untuk beli”

"Bila ada permintaan, pasti ada golongan 'usahawan kreatif' yang akan cuba mengaut keuntungan. Semakin hampir masa perlawanan, semakin mahal harga yang akan ditawarkan oleh mereka (ulat tiket).

"Sehingga kita memiliki sistem pembelian tiket yang lebih baik, satu-satunya cara untuk menghentikan ulat tiket adalah dengan berhenti membeli daripada mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Keadaan di luar Stadium Nasional Bukit Jalil ketika ribuan penyokong skuad Harimau Malaya beratur bagi mendapatkan tiket pada pagi Ahad. Bernama

Tambah Stuart, perbuatan itu juga tidak dapat dielak kerana urusan jual beli dilakukan secara atas talian dan nilai yang dipersetujui bersama antara penjual dan pembeli.

Bagaimanapun, beliau berkata, selain ulat tiket, ada perkara lebih penting yang sewajarnya diperkatakan iaitu memberi sokongan terhadap skuad negara dalam aksi perlawanan akhir pertama menentang Vietnam pada Selasa ini.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman pada Khamis telah memberi amaran kepada penyokong skuad Harimau Malaysia agar mendapatkan tiket perlawanan akhir melalui saluran yang betul.

“Ingat. KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tidak akan sesekali berkompromi dengan pesalah ulat tiket, perokok di stadium dan mereka yang membuang sampah merata-rata,” katanya ketika dipetik daripada laporan oleh Sinar Harian.

Kementeriannya turut mengingatkan supaya semua penyokong menjaga tatatertib sepanjang berada di stadium.

Piala AFF Suzuki, ulat tiket

Artikel Lain