suria

Lebih 6,000 penyokong Harimau Malaya dah beratur keliling stadium sejak malam tadi, jangan datang kalau tak nak kecewa - FAM

Paparan skrip video menunjukkan ramai penyokong Harimau Malaya membanjiri di luar Stadium Nasional, Bukit Jalil, bagi mendapatkan tiket perlawanan final pertama Piala AFF Suzuki 2018. Sumber twitter bernamadotcom

PETALING JAYA: Bahang aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2018 semakin dirasai apabila ribuan penyokong Harimau Malaya mula membanjiri sekitar Stadium Nasional, Bukit Jalil sejak malam Sabtu bagi memastikan mereka tidak terlepas untuk mendapatkan tiket perlawanan itu.

Menurut posting di halaman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada malam Sabtu, dianggarkan lebih 6,000 penyokong sudah pun beratur di Kaunter Tiket Pintu A dan E di stadium.

Difahamkan antara mereka datang beramai-ramai, bersama keluarga termasuk membawa anak kecil ‘berkampung’ di stadium, semata-mata mahu menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Vietnam, Selasa ini.

Susulan itu, FAM menasihatkan orang ramai terutama penyokong skuad kebangsaan tidak lagi datang ke Stadium Nasional pagi Ahad.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, nasihat ini bagi  mengelakkan mereka kecewa kerana kehabisan tiket.

“Berdasarkan keadaan terkini di Stadium Nasional, penyokong sedia ada yang beratur sejak malam tadi dilihat barisannya sudah mengelilingi stadium dan dijangkakan ia tidak dapat lagi menampung jumlah tiket yang akan dijual di kaunter tiket Pintu A dan Pintu E bermula pagi ini.

“Oleh itu, FAM sekali lagi berharap tiada lagi tambahan penyokong yang akan hadir ke Stadium Nasional, pagi ini kerana ia hanya akan menyebabkan anda akan pulang dengan perasaan kecewa,” katanya menerusi kenyataan di halaman Facebook rasmi FAM, pagi Ahad.

Stuart berkata, FAM amat menghargai sokongan yang mahu diberikan kepada skuad Harimau Malaya pada aksi perlawanan akhir pertama ini.

Namun, beliau berkata, FAM tidak dapat memenuhi kehendak semua penyokong dan hanya dapat menjual maksimum sebanyak 80,000 tiket.

“Bagi penyokong yang sedang beratur di Stadium Nasional ketika ini, saya sedang berbincang dengan pihak polis untuk penyediaan bantuan keselamatan apabila proses penjualan tiket bermula nanti supaya tidak berlaku kekecohan atau sebarang kejadian yang tidak diingini.

“FAM juga prihatin dengan keadaan penyokong yang telah menunggu cukup lama sejak malam tadi dan akan membuka kaunter jualan tiket lebih awal sejurus pihak polis dan petugas kaunter sudah bersedia nanti,” ujarnya.

Terdahulu, FAM akan menyediakan satu kaunter khas untuk pembelian tiket aksi final pertama antara Malaysia dan Vietnam bagi penyokong Harimau Malaya yang hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Bangkok, 5 Disember lalu.

Ia berikutan kesemua tiket yang diperuntukkan habis dijual dalam masa singkat sahaja selepas www.tickethotline.com.my memulakan jualan setengah jam lebih awal untuk menguji sistem daripada waktu sepatutnya pada 9 pagi Jumaat.

Susulan itu, FAM mengambil pendekatan menambah jumlah tiket dalam talian daripada 20,000 keping kepada 30,000 keping dengan baki 10,000 itu akan dijual secara dalam talian bermula 9 pagi Sabtu.

Seterusnya baki 40,000 tiket fizikal akan dijual di Stadium Nasional di Bukit Jalil, bermula pukul 10 pagi Ahad.

Perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 akan menggunakan format timbal balik dengan skuad negara bakal melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Disember, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Disember ini.

Artikel Lain