suria

Kafa masih tunggu keputusan Yusri

Yusri Che Lah

KOTA BHARU:  Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih menunggu keputusan Yusri Che Lah  bagi  pengesahan jawatan ketua jurulatih pasukan Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata setakat ini jurulatih kelahiran Perlis itu masih tidak menandatangani kontrak walaupun tawaran dan persetujuan persatuan untuk melantik beliau sebagai ketua jurulatih sudah dilakukan.

"Kita membuat tawaran tersebut bulan lalu untuk satu tahun lagi kepada beliau bersama pasukan, namun beliau masih belum membuat keputusan.

"Keputusan pengesahan itu dijangka dapat diketahui selepas beliau (Yusri) pulang dari Makkah pada 9 Dis ini," katanya ketika dihubungi, di sini, Isnin.

Sebelum ini, Kafa membuat tawaran kepada Yusri untuk melanjutkan khidmatnya bersama The Red Warriors (TRW) musim depan setelah semusim bersama Kelantan sebagai penolong jurulatih pasukan berkenaan.

Untuk rekod, pada musim ini Yusri diberi tanggungjawab sebagai pemangku jurulatih sebanyak dua kali - selepas ketua jurulatih import dari Thailand Santhit Bensoh digugurkan pada awal musim dan Fajr Ibrahim (Syria) meletak jawatan pada pertengahan musim.

Bibi Ramjani berkata KAFA menyerahkan sepenuhnya kepada Yusri sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau mencari pasukan lain.

"Sebelum ini, dia meminta kenaikan gaji dan memaklumkan ada terima tawaran tinggi daripada pasukan dari ibu kota...mungkin perkara itu antara sebab beliau tidak tandatangani tawaran kami.

"Keputusan bagi mengisi jawatan ketua jurulatih perlu dilakukan bersama pihak pengurusan...ia tidak boleh lakukan secara terburu-buru," katanya.

Sementara itu, Yusri dalam kenyataannya melalui WhatsApp berkata keputusan untuk menandatangani kontrak itu akan diputuskan apabila beliau pulang ke tanah air selepas menunaikan umrah.

"InsyaAllah saya akan membuat keputusan apabila pulang nanti, setakat ini saya tidak boleh  memaklumkan apa-apa keputusan," katanya.- Bernama

Kafa, Bibi Ramjani

Artikel Sebelum

Southampton pecat Hughes!

Artikel Berikut

Artikel Lain