suria

Perak dan Kedah mara ke pusingan akhir bola sepak Sukma

Pemain Perak Muhamad Asyaaraf Mat Pushni (dua, kiri) meraikan jaringan gol pertama bersama rakan sepasukan pada perlawanan bola separuh akhir sempena Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Stadium Perbandaran Manjung pada Isnin. FOTO:BERNAMA

LUMUT: Perak yang merupakan juara bertahan dan Kedah mengesahkan tempat ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 selepas mengalahkan lawan masing-masing pada Isnin malam.

Venue Stadium Perak di Ipoh dipilih sebagai pentas akhir bagi kejohanan itu yang akan berlangsung pada pukul 8.45 malam, Rabu ini.

Pada perlawanan separuh akhir di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini, tuan rumah Perak yang merupakan juara Kumpulan A dipaksa bekerja keras sebelum menang tipis ke atas Sabah 2-1.

Ariusdius Jais meletakkan pasukan Sabah di depan dengan meledak gol pada minit ke-14 menerusi percubaan dari luar kotak penalti yang menerjah masuk gawang Perak.

Percaturan pengendali Perak ,Chan Wong Hoong yang membawa masuk Muhammad Alif Rieza Naharuddin menggantikan Derek Leong Wei Jian berselang separuh masa kedua jelas memberi impak di barisan serangan.

Hasilnya Muhamad Asyraaf Mat Pushni mengimbangi kedudukan 1-1 selang seminit di babak kedua berlangsung apabila menyumbat gol hasil lorongan cantik dari Mohammad Alif Rieza.

Mohammad Alif Rieza memastikan skuad Seladang menghampiri matlamat memburu kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut apabila meledak gol kedua pada minit ke-54, untuk kedudukan memihak 2-1 hingga ke wisel penamat.

Sementara itu Kedah mencipta kejutan dengan mengetepikan juara tiga edisi berturut-turut (2006, 2008 dan 2010) Terengganu 2-1 dalam satu lagi pertemuan separuh akhir di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini.

Perlawanan yang terpaksa diheret sehingga 120 minit itu setelah terikat seri 1-1 menyaksikan jaringan penalti oleh Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (minit ke-112) setelah dikasari pemain lawan telah membolehkan skuad Lang Merah menarik nafas lega ke saingan akhir.

Sebelum itu kedua-dua gol terhasil di babak pertama di mana Terengganu memperoleh gol pembukaan menerusi Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sanri pada minit ke-27 sebelum Mohd Aiman Afif Md Afizul meletakkan kedudukan seri 1-1 selang 10 minit kemudian.

Saingan penentuan pingat gangsa antara Sabah dan Terengganu akan berlangsung di Stadium MPM, 4.15 petang pada Rabu.
-- BERNAMA

Sukma, Perak, Sabah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain