suria

Sukma 2018: Pelajar Tingkatan Empat kaut dua emas, cipta rekod baharu menembak

Gambar hiasan.

IPOH: Baru berusia 16 tahun dan hanya berbekalkan pengalaman setahun dalam sukan menembak, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dari Johor membuat kejutan membidik dua pingat emas selain mencipta dua rekod baharu acara 10 meter Air Pistol individu wanita dan berpasukan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak di sini pada Isnin.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Onn, Batu Pahat itu membidik 562 mata, memadamkan rekod 380 mata milik penembak Perak, Siau Cuili pada Sukma 2014 untuk pingat emas acara individu.

Beliau menewaskan penembak Selangor, Dina Batrisyia Adi Azhar yang meraih pingat perak dengan 559 mata.

Gangsa menjadi milik penembak Pahang, Nur Natasha Shahira Rosli dengan bidikan 558 mata.

Nurul Syasya ketika ditemui berkata beliau tidak menyangka dapat menyumbang pingat emas dan memperbaharui rekod pada penampilan pertamanya di Sukma.

Nurul Syasya yang berhasrat mewakili negara dalam acara itu, berkata beliau mendapat galakan daripada ibu bapanya untuk menceburi sukan menembak ketika berusia 15 tahun.

“Saya suka bunyi tembakan. Saya baru dalam sukan ini. Selama setahun saya berlatih terutamanya pada hujung minggu untuk persiapan Sukma ini. Alhamdulillah... dapat pingat emas. Sebelum ini kalau kejohanan sirkit kebangsaan saya hanya dapat pingat perak.

“Pengalaman beraksi mewakili negeri di kejohanan sirkit kebangsaan membantu saya di sini. Terima kasih kepada jurulatih dan kedua ibu bapa saya. Kalau ada rezeki sertai skuad kebangsaan, insya-Allah saya akan terima,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, gandingan Nurul Syasya bersama Khairunnabiha Baharin dan Mumtazah Syahiidah Shamsuri membidik 1,639 mata memadamkan rekod 1,104 yang dipegang bersama dua trio Pahang pada Sukma 2006 dan 2008.

Mereka menewaskan trio tuan rumah yang meraih pingat perak dengan 1,638 mata manakala Sarawak membidik 1,633 mata untuk pingat gangsa.

Acara 10m Air Pistol lelaki dan wanita pada Sukma kali ini menggunakan format baharu iaitu 60 bidikan berbanding 40 bidikan sebelum ini. - Bernama

Sukma 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain