suria

Empat pemain Liga-M digantung

PETALING JAYA: Empat pemain Liga Malaysia digantung dua perlawanan gara-gara kesalahan berkelakuan ganas sepanjang aksi Jun lalu.

Mohd Khairul Asyraf Ramli dari pasukan Kelantan dikenakan hukuman gantung duia perlawanan selepas memukul dan menyepak kaki kanan pemain Kedah, Andik Vermansyah ketika saingan Liga Super pada 8 Jun lalu di Stadium Darul Aman.

Manakala tiga lagi pemain dari Liga Premier iaitu Argzim Redzovic dari pasukan PDRM yang menyiku bahagian dada pemain Johor Darul Ta’zim II (Muhammad Fazly Mazlan) ketika aksi di Stadium Majlis Perbandaran, Pasir Gudang juga didapati bersalah.

Turut menerima hukuman penggantungan adalah Pemain Pasukan Johor Darul Ta’zim II, Muhammad Fazly Mazlan yang menumbuk pipi pemain PDRM, Argzim Redzovic.

Selain itu, pemain UKM FC, Mohamad Alif Jamaluddin yang menyiku di bahagian muka pemain Terengganu FC II (Md Hassan Basri) turut dijatuhkan hukuman yang sama.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, keputusan itu dibuat dengan menggunapakai Artikel 81 Kod Tatatertib FAM pada mesyuarat Jumaat lalu.

Menurut kenyataan pada Selasa, penggantungan dua perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Keputusan ini tidak boleh dirayu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain