suria

Nidzam Adzha reda

Liridon Krasiqi

KETUA Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof reda dengan kecederaan yang dialami pemain tengah skuad itu apabila turun menentang Melaka di Stadium Hang Jebat pada Selasa malam.

Mohd Nidzam sebelum ini dilapor terpaksa memberikan suntikan kepada pemain penting berkenaan dalam perlawanan sebelum ini bagi memastikan dia dapat membantu skuad hijau kuning.

Bagaimanapun, berikutan kecederaan tersebut belum sembuh dan enggan mengambil risiko, Mohd Nidzam akhirnya mengambil keputusan untuk tidak menggunakan khidmat Liridon Krasiqi pada perlawanan kali ini.

Menurutnya, pemain import dari Kosovo mengalami kecederaan paha sebelum perlawanan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), namun telah diberikan suntikan kerana memerlukan khidmatnya.

"Tetapi untuk perlawanan kali ini kita tidak boleh ambil risiko lagi dan terpaksa merehatkan Liridon bagi memastikan dia sembuh sepenuhnya.

"Ketiadaan Liridon tidak menjadi penghalang untuk Kedah kerana kita juga mempunyai pemain yang mampu menggalas tugas sebagai pemain tengah mengikut rentak permainan Kedah.

"Saya yakin pemain gantian nanti dapat menjalankan tugasnya dengan baik dalam memastikan misi membawa pulang tiga mata dicapai," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam memberitahu, Kedah tidak mempunyai banyak masa sebaliknya semua pemain perlu berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan untuk berada di kedudukan terbaik Liga Super.

Sementara itu, penjaga gol baru Kedah, Ramadhan Hamid berkata, dia akan berusaha untuk terus mempertahankan gawang Kedah selepas diberi kepercayaan oleh barisan jurulatih untuk menggantikan Ifwat Akmal.

"Saya akan melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh rakan-rakan dan pasukan.

"Sejak bersama Kedah semua urusan di sini berjalan lancar kerana rakan-rakan dalam pasukan juga banyak memberi bantuan,"ujarnya.

 

Nidzam Adzha, Liridon Krasiqi

Artikel Sebelum

Torres ke Liga Jepun

Artikel Berikut

Artikel Lain