suria

Ahmad Razif letak jawatan Presiden PBSNT

Ahmad Razif Abd Rahman.

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkuat kuasa serta-merta.

Pengumuman itu dibuat oleh beliau sendiri dalam Kongres Luar Biasa (EGM) PBSNT 2018 yang berlangsung di sebuah hotel di sini, Sabtu.

Dengan peletakan  jawatan tersebut, Menteri Besar Terengganu yang baharu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik secara automatik sebagai Presiden PBSNT berkuat kuasa serta-merta.

Ia berikutan 57 ahli gabungan PBSNT sebulat suara bersetuju melakukan pindaan dalam perlembagaan badan induk bola sepak negeri berkenaan.

Menurut Ahmad Razif, pindaan terhadap Artikel 33 dan 39 memperuntukkan jawatan presiden badan induk negeri dikhususkan kepada menteri besar.

“Melalui pindaan itu juga, presiden mempunyai kuasa untuk melantik timbalan presiden 1 yang kini telah kosong kerana penyandangnya, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail telah meletak jawatan sebelum ini.

“Pindaan ini bertujuan memberi kekuatan kepada persatuan bola sepak negeri meneruskan kecemerlangan dalam arena bola sepak tempatan,” kata Ahmad Razif.

Sebelum pindaan dalam perlembagaan, jawatan tertinggi termasuk presiden dan timbalan presiden PBSNT dipilih melalui pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung empat tahun sekali dan bukannya secara lantikan.

Ahmad Razif yang ketika itu Menteri Besar Terengganu telah dilantik sebagai presiden PBSNT pada Disember 2016 selepas memenangi jawatan itu dalam EGM bagi penggal 2017 hingga 2020 selepas penyandangnya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid meletak jawatan.

Menurut Ahmad Razif lagi, walaupun telah meletak jawatan sebagai orang nombor satu dalam PBSNT, beliau tetap akan memberi sokongan dan nasihat jika diperlukan. - Bernama

Artikel Sebelum

Pahang juara Piala FA

Artikel Berikut

Artikel Lain