suria

Pahang juara Piala FA

Skuad Tok Gajah menjulang trofi Piala FA yang dimenangi selepas menewaskan pasukan Selangor pada Perlawanan Akhir Piala FA Malaysia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Keputusan penuh menyaksikan Pahang menang dengan jaringan 2-0. Foto FAIHAN GHANI/The Star

KUALA LUMPUR: Pahang merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga setelah menewaskan juara lima kali, Selangor, 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu malam.

Beraksi di hadapan 43,512 penyokong, skuad kendalian Dollah Salleh lebih bersemangat untuk mencari gol awal dengan melakukan bebeberapa serangan berbahaya sehingga memaksa penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Khalid terpaksa berkerja keras menjaga gawang.

Asakan awal Pahang menekan kubu Selangor nyata memberi kesan pada minit ke-22 apabila hasil rembatan padu Muhd Nor Azam Abdul Azih dari luar kotak penalti setelah menerima umpanan menarik dari bekas penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talaha membuka tirai jaringan.

Skuad Tok Gajah dilihat amat berbahaya ketika melakukan serangan dari bahagian sayap kiri dan kanan menerusi Mohamadou Sumareh dan Shahrul yang mencipta beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Selangor pula mempunyai peluang terbaik di hujung babak pertama menerusi K. Kannan yang melakukan percubaan deras dari jarak 30 meter namun penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias lebih bersedia untuk menafikan percubaan itu dan keputusan 1-0 kekal pada masa rehat.

Bermula babak kedua, tempo perlawanan lebih laju serta penonton disajikan dengan permainan yang agak keras sehingga beberapa terjahan kasar dilakukan kedua-dua pasukan namun pengadil perlawanan Zulkarnain Zakaria tenang mengawal keadaan tegang itu.

Pada minit ke-61, melalui satu gerakan solo Amamchi Augustine Iwuji yang berjaya meloloskan diri sehingga masuk ke dalam kotak penalti dijatuhkan pertahanan Selangor, Alfonso De La Cruz memaksa Zulkarnain menghadiahkan sepakan penalti kepada Pahang.

Penyerang dari Brazil, Patrick Dos Santos Cruz yang diberi kepercayaan untuk mengambil sepakan penalti tidak menghadapi masalah untuk menggandakan jaringan pada minit ke-62 dan meletakkan Pahang selesa mendahului 2-0.

Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh barisan anak buah Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir untuk menggugat penguasaan Pahang yang begitu baik mengawal perlawanan sehingga wisel penamat dibunyikan untuk Pahang menamatkan kempen Piala FA dengan cemerlang.

Kemenangan Pahang ini bermakna mereka mendapat tiket untuk beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2019 (ACL). - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain