suria

TFC kekal tangga kelima Liga Super

Pemain TFC, Donghyun Do (dua, kiri) diasak oleh pemain Negeri Sembilan Mohd Fauzan Dzulkifli pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Rabu malam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu FC (TFC) kembali meraih kemenangan dalam saingan Liga Super selepas menang tipis 3-2 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Kemenangan tersebut bagaimanapun tidak mengubah kedudukan skuad Penyu yang terus menghuni tangga kelima carta Liga Super dengan kutipan 27 mata selepas mengharungi 17 perlawanan setakat ini.

Pada aksi berkenaan, pemain import dari Ivory Coast, Kipré Brice Hermann Tchétché muncul wira pasukan tuan rumah setelah meledak jaringan hatrik pada minit ke-31, minit ke-56 dan minit ke-66, manakala dua gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Nicolas Leandro Velez pada minit ke-43 dan minit ke-45.

Kuala Lumpur pula memintas kedudukan Melaka di tangga kelapan liga walaupun seri 1-1 menentang  wakil Perak, PKNP FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-22 sebelum PKNP FC menyamakan kedudukan hasil gol sendiri pemain Kuala Lumpur, Mohd Saifulnizam Miswan pada minit ke-79.

Dalam pada itu, pendahulu Liga Premier, Felda United terus mengekalkan kedudukan teratas walaupun seri 2-2 menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

JDT II selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Nicolas Alberto Fernandes menerusi sepakan penalti pada minit ke-44 dan gol daripada Darren Lok pada minit ke-58, sebelum Felda United bangkit menyamakan kedudukan hasil sentuhan penyudah Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-85 dan penghujung babak perlawanan.

Terdahulu, kedua-dua pasukan  terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain Felda United, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nicolas menerima kad kuning kedua, masing-masing pada minit ke-51 dan penghujung babak perlawanan setelah mengasari pemain lawan.

Terengganu FC II (TFC II) pula melonjak dua anak tangga ke kedudukan kesembilan carta Liga Premier setelah mengatasi UiTM FC 3-2 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Tiga gol pasukan pelawat dijaringkan menerusi sepakan penalti oleh Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-54 dan minit ke-65 serta gol padang Bruno Suzuki pada minit ke-70.

Dua gol UiTM FC disumbangkan oleh pemain import dari Afrika Selatan, Okoroke Timothy hasil gol padang pada minit ke-24 dan sepakan penalti pada minit ke-73. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain