suria

Jangan ungkit lagi isu pesta alkohol

KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang dijadualkan bermula 18 Ogos hingga 2 Sept ini, Datuk Seri Abdul Azim Mohamad Zabidi meminta semua pihak agar tidak mengungkit lagi isu penerjun negara ‘berpesta alkohol' di kem latihan pada Februari lalu.

“Perkara dah habis, mereka dah minta maaf… cukuplah tu. Apa lagi nak ungkit-ungkit?” soalnya apabila diminta mengulas mengenai tujuh penerjun negara yang didapati mengambil minuman keras dan berpesta ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

ARTIKEL BERKAITAN: Video penerjun negara didakwa minum alkohol tular

Mengulas lanjut, Abdul Azim menasihati semua atlet negara supaya menjaga disiplin diri di dalam dan di luar kem latihan supaya sentiasa dihormati dan tidak menjejaskan imej peribadi serta negara.

“Perkara ini tidak sepatutnya menjejaskan tempat mereka ke Indonesia (Sukan Asia). Ia merupakan waktu perayaan dan di tempat tertutup semasa hari rehat. Jangan terlalu keras, mereka pun hanya manusia,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa rayuan ke Sukan Asia di Wisma OCM di sini, Jumaat.

Pada Khamis, skuad terjun negara membuat permohonan maaf secara terbuka pada sidang media berikutan kelakuan tidak senonoh mereka dan bersedia menerima sebarang hukuman daripada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), selepas tujuh penerjun dilaporkan mengambil minuman keras semasa berada di kem latihan di China dan  video insiden itu ditularkan menerusi media sosial.

ASUM mengesahkan tiga atlet terjun Program Podium -  Chew Yiwei, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri serta empat atlet junior di bawah program Majlis Sukan Negara  – Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabillin, Gabriel Gilbert Daim dan Kimberly Bong terlibat dalam insiden itu. - Bernama

pesta alkohol

Artikel Lain