suria

Penyokong resah kedudukan tercorot Kelantan dalam Liga Super

KOTA BHARU: Kedudukan The Red Warriors yang berada di tangga tercorot dalam saingan Liga Super ketika ini nyata meresahkan penyokong yang tidak mahu melihat pasukan kesayangan mereka  ‘ditendang' keluar dan terpaksa beraksi dalam Liga Premier musim depan.

Presiden Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu Mohd Zainy Zain berkata walaupun masih berbaki enam perlawanan, sukar untuk Kelantan menambah baik kedudukan kerana perlu berdepan dengan beberapa pasukan yang kuat.

"(Pengendali Kelantan) Yusri Che Lah dan pemain selepas ini akan berdepan dengan pasukan terkuat iaitu Johor Darul Ta' zim (JDT), Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Melaka United dan ia merupakan satu laluan sukar bagi pasukan memperbaiki kedudukan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Mohd Zainy berkata peluang untuk Kelantan kekal beraksi dalam Liga Super semakin kelam kerana pastinya pasukan yang bakal ditentang mahu menambah mata masing-masing dan tidak akan memberi muka kepada The Red Warriors.  

"Kalau dilihat kualiti permainan The Red Warriors ketika menentang PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Selasa lalu, terlalu banyak kelemahan yang mengecewakan dan jika kelemahan ini berterusan sudah pasti akan memberikan mata mudah kepada lawan pada enam perlawanan seterusnya,” katanya.

Katanya kehadiran pemain import tidak mampu memperkukuh prestasi Kelantan kerana pasukan itu dibarisi pemain muda tempatan yang tidak mempunyai banyak pengalaman di samping tiada pemain senior untuk membimbing mereka.

Beliau  berpandangan pemain senior seperti Mohd Badri Mohd Radzi dan Amiridzwan Taj Tajudin yang masih berkhidmat dengan pasukan perlu kembali digunakan bagi mengetuai pemain muda Kelantan sekali gus mengimbangi persembahan ketika beraksi.

Selepas hampir 10 tahun beraksi dalam Liga Super, prestasi bekas juara treble pada 2012 itu berada pada tahap  terburuk musim ini apabila menghuni tangga ke-12, tercorot dalam saingan dengan 11 mata selepas 16 perlawanan menerusi tiga kemenangan, dua seri dan 11 kekalahan.

The Red Warriors

Artikel Berikut

Artikel Lain