suria

Selangor tundukkan PKNS FC 2-1

Pemain Selangor Saiful Ridwan Selamat mengasak pemain pasukan PKNS Bruno Oliveira (kanan) pada Perlawanan Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Cheras pada Rabu malam. - Bernama

KUALA LUMPUR: Pertemuan Liga Super ‘adik-abang' antara Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) berkesudahan dengan skuad Gergasi Merah menang tipis 2-1 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu malam.

Selangor terlebih dahulu berada di hadapan seawal minit ketujuh selepas penyerang dari Sepanyol Rufino Segovia berjaya menewaskan penjaga gol PKNS FC, Mohd Shahril Sa'ari.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Datuk K. Rajagobal kembali memperkemaskan corak permainan dan Mohd Safee Mohd Sali berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-43 hasil rembatan deras dari luar kotak penalti untuk kedudukan terikat 1-1 pada masa rehat.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Selangor lebih bijak menghidu peluang apabila perancang dari Indonesia, Evan Dimas Darmono meledak gol kedua pada minit ke-60.

Jaringan Evan itu memastikan Selangor mengutip tiga mata penuh dan berjaya melonjak dua anak tangga ke kedudukan lapan liga dengan mengumpul 17 mata, manakala PKNS FC kekal di tempat keenam dengan 19 mata.

Sementara itu, di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, pasukan tuan rumah Negeri Sembilan sekadar seri 1-1 menentang Perak.

Gol skuad The Bos Gaurus dijaringkan Gilmar Jose Da Silva pada minit ke-71, manakala jaringan penyamaan Negeri Sembilan disempurnakan N.Thanabalan pada minit akhir permainan.

Keputusan itu menyaksikan Negeri Sembilan masih berada dalam zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan, dengan mengumpul 12 mata manakala Perak jatuh ke tangga ketiga liga dengan 24 mata. - Bernama

Liga Super 2018

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain