suria

Danny Rose bergelut dengan kemurungan

Gambar dari Reuters.

LONDON: Pemain bek penuh pasukan England, Danny Rose (gambar) bergelut dengan kemurungan pada musim lalu akibat mengalami kecederaan dan masalah keluarga, katanya pada Rabu.

Rose mengalami kecederaan lutut yang serius pada Januari 2017 dan tidak dapat bermain selama lapan bulan sebelum kembali ke Tottenham Hotspur.

"Tiada lagi rahsia yang saya melalui ujian yang getir di Tottenham pada musim ini.

"Ia membuatkan saya terpaksa berjumpa pakar psikologi dan saya dikenal pasti telah mengalami kemurungan. Tiada siapa yang mengetahuinya," kata Rose kepada pemberita.

Rose, 27, berkata dia tidak memberitahu mengenai perkara itu kepada ibu bapanya.

"Mereka (ibu bapa) mungkin akan memarahi saya apabila membaca mengenai perkara ini, tapi saya simpan sendiri sehingga kini.

"Semuanya bermula daripada kecederaan yang dialami apabila saya dinasihatkan bahawa saya tidak perlu melalui pembedahan.

"Saya mengambil suntikan kortison dan plasma untuk meningkatkan platlet darah untuk kekal cergas buat kelab saya.

"Saya lekas marah. Saya tidak mahu bermain bola sepak dan juga melakukan rehabilitasi."

Menurut laporan Eurosport, Rose juga perlu memikirkan masalah keluarganya.

"Pak Cik saya bunuh diri ketika saya sedang rehabilitasi dan ia membuatkan saya bertambah murung.

"Banyak insiden yang berlaku di luar padang. Ibu saya dibuli kerana isu perkauman di Doncaster.

"Dia amat marah dan kecewa dengan kejadian itu. Kemudian, seseorang datang ke rumah kami dan hampir menembak adik saya di bahagian muka. Tembakan dilepaskan ke rumah kami."

Bagaimanapun, peluang untuk mewakili negaranya telah membantu dia mengatasi masalah yang dihadapi.

"England telah jadi penyelamat saya dan saya amat berterima kasih kepada pengurus dan kakitangan hospital kerana banyak membantu," kata Rose. - Reuters

Danny Rose

Artikel Berikut

Artikel Lain