suria

Tech 3 sambung kontrak Hafizh Syahrin

Hafizh Syahrin (tengah) bersama Razlan dan pemilik pasukan Herve Poncharal (kanan).

KUALA LUMPUR: Kontrak pelumba Motogp pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah bersama pasukan Tech 3 disambung setahun lagi bagi musim 2019.Berita baik itu diterima selepas pasukan Tech 3 mengumumkan mereka akan menggunakan jentera KTM selepas Yamaha menarik penajaan untuk perlumbaan musim hadapan.

“Alhamdulillah...syukur kepada rezeki yang saya dapat untuk 2019. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Herve (Poncharal) dan Datuk Razlan (Razali) serta keluarga dan peminat yang sentiasa menyokong saya selama ini.

“Mungkin sebelum ini, orang kata saya datang (dalam Motogp) dari segi peluang ataupun tidak mampu buat yang terbaik dalam Motogp.

“Untuk menuju musim 2019, saya perlu terus buat yang terbaik dalam musim 2018 dan muncul sebagai pelumba rookie utamae musim ini,” katanya dalam rakaman suara menerusi Whatsapp pada Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali mengucapkan terima kasih kepada Poncharal (pemilik pasukan) yang memberi kepercayaan semula kepada  pelumba berusia 24 tahun itu untuk musim depan.

“Saya percaya kita telah membuat keputusan yang baik yang membolehkan Hafizh bersaing setahun lagi dalam saingan Motogp. Sudah pasti, kami akan berusaha untuk tahun akan datang bagi memastikan Hafizh sentiasa berada dalam kategori Motogp.

“Saya percaya KTM dan Tech 3 akan buat yang terbaik untuk jentera mereka tahun depan berbanding jentera Yamah yang digunakan oleh Hafizh musim ini.

“Saya bangga dengan usaha Hafizh yang sentiasa bekerja keras, berdisiplin dan fokus untuk buat yang terbaik. Ini adalah salah satu contoh yang boleh dilihat oleh pelumba muda negara yang menjadikan Hafizh sebagai idola mereka,” katanya.

Hafizh kini menghuni tangga ke-16 daripada 25 pelumba MotoGP dengan mengumpul 17 mata dari enam daripada 19  pusingan musim ini.

Hafizh Syahrin, Motogp

Artikel Berikut

Artikel Lain