suria

Mohamad letak jawatan presiden PBNS

SEREMBAN: Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Turut meletak jawatan ialah Naib Presiden PBNS Datuk Ghani Hasan dan Bendahari PBNS Datuk Mohd Haslah Mohd Amin.

Timbalan Presiden PBNS Datuk Seri Mat Ali Hassan berkata PBNS menerima surat peletakan jawatan mereka baru-baru ini.

"Mohamad menulis surat kepada persatuan menyatakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai presiden persatuan dan juga sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengurusan serta lain-lain jawatan yang dipegangnya dalam PBNS.

"Selain Mohamad, turut menyatakan hasrat meletak jawatan ialah Naib Presiden PBNS Datuk Abd Ghani Hasan dan Bendahari PBNS yang juga pengurus pasukan Liga Super Negeri Sembilan Datuk Mohd Haslah Mohd Amin," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBNS pada Rabu.

Mohamad yang memegang jawatan Presiden PBNS apabila dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2004 membawa banyak kejayaan kepada pasukan bola sepak negeri, termasuk memenangi Piala Malaysia pada 2009 apabila menewaskan Kelantan 3-1 dalam perlawanan akhir.

Mat Ali yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBNS pada hari ini, membuat keputusan sebulat suara untuk menerima peletakan jawatan mereka.

"Kita mengucapkan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan mereka dalam memajukan bola sepak di negeri ini. Kita juga akan mengemukakan surat penghargaan kepada mereka atas khidmat bakti yang diberikan kepada persatuan selama ini.

"Sebagai langkah memastikan PBNS berjalan lancar, Jawatankuasa Eksekutif PBNS bersetuju agar saya memangku jawatan presiden buat sementara. Pegawai Kewangan Negeri Datuk Johani Hassan pula akan mengisi seketika jawatan bendahari, dan jawatan pengurus pasukan Liga Super akan kita tentukan bila sampai masanya.

"Jawatankuasa Eksekutif PBNS juga memutuskan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa dengan satu agenda untuk membuat pengisian semua jawatan melalui pertandingan. Tarikh mesyuarat agung luar biasa itu akan ditetapkan dalam mesyuarat pengurusan nanti.

"Sekiranya dipersetujui kongres dalam mesyuarat agung luar biasa itu, tempoh penyandang jawatan adalah setahun. Penyandang jawatan sekarang akan  tamat pada Disember 2019.

“Terpulanglah kepada sesiapa yang berhasrat menawarkan diri bertanding. Pada kali ini kita membuka pertandingan...tidak ada halangan untuk bertanding mana-mana  jawatan, sama ada bagi penyandang sedia ada ataupun kepada mereka yang berminat," katanya.

Beliau berharap peminat bola sepak negeri ini akan terus memberi sokongan kepada pasukan Negeri Sembilan dalam mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

"Sebagai pemangku presiden, saya berharap Negeri Sembilan akan kekal antara pasukan yang bersaing dalam Liga Super musim depan. Dengan kerjasama semua pihak dan sokongan peminat, saya yakin kita boleh mencapai sasaran itu," katanya.-Bernama

Mohamad, PBNS, letak jawatan

Artikel Sebelum

Artikel Lain