suria

JDT kekal dipersada liga

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan kedudukan pendahulu liga walaupun seri 2-2 menentang Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu malam.

Keputusan seri tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengutip 25 mata setelah beraksi 10 perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Cheras, pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera meletakkan JDT di hadapan seawal minit kedua perlawanan sebelum skuad Gergasi Merah bangkit meraih dua gol menerusi Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-14 dan pemain import dari Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo, selang dua minit kemudian.

Pemain import baharu dari Perancis, Harry Novillo memastikan skuad Harimau Selatan berjaya meraih satu mata menerusi gol penyamaan pada minit ke-67.

Dalam satu lagi aksi Liga Super, Perak gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri tanpa jaringan berdepan pasukan bawahan liga, Melaka, di Stadium Perak, Ipoh.

Sementara itu, pasukan MIFA meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu Liga Premier, Felda United setelah meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan tuan rumah di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Tiga gol pasukan pelawat dijaringkan oleh K. Satish pada minit kelapan serta dua gol pemain import dari Liberia, Kpah Sean Sherman pada minit ke-26 dan minit ke-56.Nasib malang terus menimpa Felda United apabila pemainnya, Wan Amirul Afiq Wan Abd Rahman dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Zohri Tajuddin kerana mengasari pemain pasukan pelawat, selang tiga minit kemudian.

Dalam satu lagi aksi Liga Premier, UKM FC dan UiTM FC berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.- Bernama

JDT, Liga Super, Pendahulu Liga

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain