suria

Annuar Musa tanding presiden FAM

Datuk Hamidin Mohd Amin

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan hanya tiga nama dicalonkan bagi mengisi jawatan presiden baharu badan induk bola sepak negara itu.

Tiga nama tersebut adalah Datuk Hamidin Mohd Amin, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata ketiga-tiga nama tersebut diterima selepas tempoh pencalonan ditutup pukul 5 petang tadi.

"Selepas tempoh pencalonan yang dibuka pada 2 April 2018 berakhir pada pukul 5.00 petang tadi, FAM hanya menerima tiga nama berkenaan sebagai calon daripada ahli-ahli gabungan yang telah mengembalikan kertas pencalonan masing-masing," katanya.

Justeru beliau berkata, ketiga-tiga calon itu perlu mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing selewat-lewatnya 14 Jun ini, sebulan sebelum Kongres FAM Ke-54 diadakan.

"Jika terdapat lebih daripada seorang calon sah ingin bertanding, maka undian pemilihan Presiden FAM yang baharu perlu dijalankan pada Kongres FAM Ke-54.

"Jika hanya seorang calon yang mengesahkan penerimaan pencalonannya, maka secara tidak rasminya beliau menang tanpa bertanding," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata calon Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 hanya akan disahkan secara rasmi pada Kongres FAM Ke-54 itu nanti.

Jawatan Presiden FAM kosong selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Mesyuarat Khas Pertama bagi penggal 2017-2021 pada 2 April lalu menerima peletakan jawatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM.

Beliau memegang jawatan tersebut sejak 25 Mac 2017 selepas menang tanpa bertanding.

Presiden FAM

Artikel Berikut

Artikel Lain