suria

Terengganu FC kembali catat kemenangan

Penjaga gol Terengganu FC Wan Mohammad Azraie Wan Teh mengasak pemain Pahang Mohd Fasisal Abdul Halim pada Perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur malam ini. Keputusan semasa Pahang 0-0 Terengganu FC. Foto:Bernama

KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu FC I (TFC I) kembali menemui rentak kemenangan setelah mengatasi Pahang 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Jumaat malam.

Kemenangan tersebut menyaksikan TFC 1 merapatkan jurang mata dengan skuad Tok Gajah menerusi kutipan 15 mata setelah mengharungi 10 perlawanan, berbanding pasukan tuan rumah yang mengumpul 18 mata.

Pada aksi di Kuantan, Mohd Faiz Mohd Nasir muncul wira skuad Penyu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-61.

Dalam pada itu, pasukan tercorot liga, Kelantan terus dirundung malang apabila tewas 1-2 kepada wakil Perak, PKNP FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.Pada perlawanan berkenaan, PKNP FC berada di hadapan menerusi jaringan Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-61 sebelum Mohammad Imran Samso menyamakan kedudukan untuk Kelantan pada minit ke-74.

Penyerang berbisa PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi muncul wira pasukan pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-83.

Pada aksi tunggal Liga Premier, pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 2-2 menentang Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Dua gol skuad Harimau  Selatan dijaringkan Lucas Elias Ontivero pada minit ke-30 dan Darren Lok pada minit ke-46, manakala dua gol Sabah disumbangkan Lee Gil Hoon pada minit ke-57 dan Mafry Balang pada minit ke-87.- Bernama

Terengganu FC, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Lain