suria

Felda United kekal berkuasa di Liga Premier

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Premier, Felda United terus mengungguli carta liga selepas menewaskan UiTM FC 2-0 pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, Jumaat malam.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad ‘The Fighters' melebarkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan dengan kutipan 26 mata.

Dua gol Felda United pada perlawanan berkenaan dijaringkan pemain import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes pada minit ke-60 dan Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-82.

Pasukan Terengganu FC II (TFC II) pula gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 menentang Felcra FC pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mohammad Nor Ubaidullah Abd Rahman meletakkan Felcra FC di hadapan pada minit ke-53 sebelum pemain import dari Nigeria, Akanni Sunday Wasiu menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-61.

Dalam pada itu, PDRM bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi UKM FC 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pada aksi berkenaan, UKM FC mendahului perlawanan hasil gol sendiri pemain PDRM, Muhammad Hariz Irffan Mohd Nazri pada penghujung babak pertama permainan, sebelum PDRM bangkit dengan dua jaringan menerusi penyerang import dari Korea Selatan, Sim Woon Sub dan pemain gantian, Mohamad Nabil Ahmad Latpi, masing-masing pada minit ke-89 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Terdahulu, UKM FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Muhammad Aliff Jamaluddin mengutip kad kuning kedua pada minit ke-66.

Satu lagi aksi Liga Premier akan berlangsung Sabtu, melibatkan pertemuan antara Pulau Pinang dan MIFA di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.- Bernama

Felda United, Liga Premier

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain