suria

Kafa musuhi presiden?

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan tidak menolak wujud usaha di peringkat dalaman badan induk bola sepak negeri itu untuk menjatuhkannya.

Jelas usahawan batik berkenaan, usaha tersebut dapat dilihat menerusi beberapa tekanan tidak masuk akal yang dihadapinya sejak akhir-akhir ini.

"Sebagai contoh saya menerima notis mahkamah yang difailkan kerana tunggakan sewaan padang sejak 2016. Kenapa perlu sebut nama presiden Kafa sahaja?

"Ini seolah-olah bermusuh dengan presiden sahaja di dalam Kafa," katanya kepada mStar Online.

Malah, beliau mengakui usaha tersebut mungkin disebabkan perubahan drastik yang dilakukannya semasa mengambil alih Kafa sejak September tahun lalu.

"Usaha ini mungkin ada apabila ada perubahan ketara, jadi saya perlu berfikiran positif dan fokus kepada nawaitu serta hala tuju saya berada di sini," katanya.

Pada masa sama, Bibi berkata beliau tidak akan sesekali tunduk dengan desakan tersebut.

"Belum masa untuk saya berundur. Saya sudah lali dengan tekanan sebegini tapi tak sangka banyak benda seperti terancang dan dirancang dalam pelbagai situasi yang membuatkan saya terkilan.

"Mereka anggap saya seolah-olah individu yang tiada jiwa untuk membawa kecemerlangan bola sepak Kelantan," katanya.

Wanita berasal dari Kok Lanas, Kelantan ini turut menegaskan beliau tidak sesekali pernah menyesal menggalas tanggungjawab berat itu.

"Dalam hidup saya tiada istilah menyesal... yang ada hanya keikhlasan untuk belajar mengenali erti sebuah kehidupan.

"Selepas menerajui Kelantan baharu saya terfikir betapa kuatnya pengaruh sebiji bola bersama sebuah pasukan yang penuh dengan 'misteri'," katanya.

Bibi mengakui beliau juga buntu dengan siapa beliau boleh bekerjasama di dalam Kafa.

"Sampaikan saya tak tahu individu mana yang saya boleh bekerjasama dan mempunyai integriti," katanya.

Namun beliau percaya bahawa kedudukannya di Kafa telah ditentukan oleh Allah dan apa yang berlaku ada hikmahnya.

"Saya percaya Allah tempatkan saya di sini kerana ada hikmahnya. Sebuah kejayaan akan tercipta dari kesusahan serta anugerah daripada Allah," katanya.

Bibi Ramjani, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain