suria

Apa itu 'Feeder Club'?

RAMAI dalam kalangan peminat bola sepak tempatan samar dalam memahami peraturan  'feeder club' walaupun sudah diguna pakai sejak tahun 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Kevin Ramalingam tampil mengulas lebih lanjut mengenai sistem 'feeder club' ini.

Menurut Kevin, selain 'feeder club' ada juga perkataan lain yang digunakan, namun prinsipnya adalah sama.

"Ada pasukan itu dipanggil 'feeder club', 'development club', 'reserve club' atau apa-apa nama lain. Ia tidak menjadi masalah kerana prinsip utama adalah ia diguna untuk menyokong pasukan utama.

"Tidak salah menggunakan panggilan 'feeder' atau 'development club' kerana apa yang penting adalah peraturan yang ada di sekeliling pasukan ini.

"Selagi kita memahami prinsip-prinsip yang sedia ada, ia tidak menjadi apa-apa persoalan," jelasnya dalam satu klip video yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi FMLLP pada Khamis.

Jelas Kevin peraturan feeder club musim 2018 adalah berbeza dengan tahun sebelumnya.

"Tahun 2017 feeder club buat kali pertama digunakan dan dapat dilihat ia telah menyokong bagi pertukaran pemain untuk pasukan kedua dan skuad utama.

"Berbeza dengan tahun ini apabila kita mengehadkan umur pemain tempatan kepada 27 tahun ke bawah sahaja tanpa had bilangan untuk menggalakkan penggunaan pemain. Tahun lalu tidak ada had umur.

"Dan untuk pemain import pula, tiada had dari segi umur dan boleh boleh buat pertukaran sebanyak dua kali di luar jendela perpindahan," katanya.

Menurut Kevin, peraturan feeder club ini dibuat secara menyeluruh selepas FMLLP kembali membuat lawatan ke La Liga pada 16 Oktober 2017.

"Selepas balik kita menyiapkan satu laporan dan serahkan kepada Lembaga Pengarah FMLLP yang turut diwakili tiga orang daripada setiap pasukan (24 pasukan).

"Setiap pasukan menghantar wakil berada dalam Lembaga Pengarah dan sebab ini setiap pasukan tidak boleh cakap tidak tahu mengenai feeder club ini.

"Ketika keputusan dibuat (23 November), tidak ada wakil yang membantah mengenai peraturan feeder club ini dan telah dimaklumkan kepada semua pasukan pada 8 Disember 2017.

"Pada 29 Disember, FMLLP telah mengadakan taklimat Liga Malaysia seperti tahun-tahun sebelum ini dan turut membincangkan peraturan termasuk perubahan feeder club ini.

"Sebenarnya peraturan feeder club ini boleh membantu semua pasukan dan bukan kepada satu pihak sahaja. Bukan untuk menyokong JDT (yang mempunyai pasukan kedua) kerana feeder club memerlukan permohonan.

"Seperti Terengganu yang telah  memohon dan sudah lulus.

"Jika mana-mana pasukan yang membuat permohonan dan memenuhi kriteria sudah pasti mereka akan mendapat kelulusan juga," jelasnya.

FMLLP, Kevin Ramalingam

Artikel Berikut

Artikel Lain