suria

Pemain Negeri Sembilan Jangan Terlibat Rasuah!

Para pemain utama Pasukan Liga Super 2018 Negeri Sembilan melafazkan ikrar bebas rasuah. Foto: Bernama

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan semua pemain di peringkat liga super, piala presiden dan piala belia negeri ini supaya jangan sesekali terjebak dengan gejala rasuah.

Mohamad yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata perkara itu akan memberikan masalah besar buat mereka termasuk berdepan hukuman di mahkamah, jika disabitkan kesalahan.

“Jagalah kerjaya kita, nama kita, keluarga kita, masyarakat dan juga negeri kita. Kalau terlibat (dengan rasuah), memang kita tidak ada harga diri...tak kaya tak apa, tetapi kita mempunyai jati diri,” katanya dalam ucapan pada majlis Ikrar Bebas Rasuah PBNS pada Rabu.

Turut menyaksikan lafaz ikrar itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, Setiausaha Kehormat PBNS Datuk Abd Halim Abd Latif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Mohamad dalam pada itu berjanji akan memastikan pasukan bola sepak Negeri Sembilan bebas rasuah dan berazam mahu membina semula nama pasukan dalam liga bola sepak tempatan.

Sementara itu, Azam dalam ucapannya berkata SPRM amat mengalu-alukan inisiatif yang diambil skuad Rusa bagi memastikan gejala rasuah dapat ditangani.

“Sukan bola sepak adalah sukan yang paling diminati di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Saya nak melihat kualiti bola sepak yang bermutu tanpa ada unsur rasuah yang jika dilakukan akan menghancurkan harapan penyokong. Saya yakin dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam pasukan Negeri Sembilan, pasukan ini mampu memberi cabaran kepada pasukan lain dalam saingan liga,” katanya.

Azam berkata sejak 10 tahun lepas, SPRM telah menerima 132 maklumat berkaitan rasuah dalam bola sepak dan daripada jumlah itu, 23 kertas siasatan dibuka membabitkan 15 tangkapan.

“Lima daripadanya telah pun dituduh di mahkamah,” katanya sambil mengharapkan menjelang 2020, negara akan bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Terdahulu, Penolong Kapten Negeri Sembilan Mohd Fauzan Dzulkifli mengetuai lafaz ikrar yang turut disertai 145 pemain dan pegawai pasukan Negeri Sembilan.

Turut menyertai bacaan ikrar itu ialah penyerang sensasi skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, N. Thanabalan, yang kini beraksi dalam skuad Hobin Jang Hobin, musim ini selepas kontrak pinjamannya bersama Felcra FC, tamat.- Bernama

Negeri Sembilan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ini Kegagalan Saya - Zidane

Artikel Lain