suria

Ramon Marcote Serah Nama Enam Pemain

Ramon Marcote

RAMON Marcote kini sedang membuat pemilihan ke atas enam pemain untuk mengisi kuota Asean dalam kesebelasan utama skuad hijau kuning.

Ketua jurultih Kedah itu berkata, enam pemain dari negara jiran telah disenarai pendek olehnya sebelum Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memutuskan individu yang akan menyarung jersi pasukan berkenaan.

"Saya sudah menyerahkan nama enam pemain pilihan dari Asean kepada jawatankuasa KFA tetapi pemilihan pemain kini terletak pada kemampuan kewangan kita bagi mendapatkan khidmat mereka.

"Keputusan lanjut saya serahkan kepada jawatankuasa KFA dan saya menerima siapa sahaja yang dipilih daripada enam nama yang telah diserahkan kepada majikan.

"Kita membuat pemilihan enam pemain ini selepas usaha kita untuk mendapatkan khidmat ketua pasukan Vietnam gagal kerana tidak dilepaskan kelabnya.

"Pelbagai usaha telah dilakukan oleh KFA namun memandangkan pemain itu masih mempunyai kontrak kita perlu menghormati keputusan kelabnya," katanya kepada mStar Online.

Marcote berkata demikian selepas perlawanan persahabatan menentang Perbadanan Kemajuan Negari Perak (PKNP) yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Kedah 2-0 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Kedah berjaya mengatasi PKNP hasil jaringan pemain berpengalamannya,  Baddrol Bakhtiar dan penyerang baharu dari Sepanyol, Pablo Pallares.

Seramai 5,000 penyokong skuad hijau kuning memenuhi ruang stadium berkenaan bagi menyaksikan penampilan pertama keempat-empat pemaim import Kedah yang bakal memberi saingan dalam Liga Malaysia musim ini.

Marcote memberitahu, walaupun Liridon Krasniqi diturunkan buat pertama kali selepas cuti panjang, namun pemain berkenaan dapat beraksi dengan baik pada babak kedua.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi kesemua pemain, cuma terdapat beberapa perkara yang dapat kita perbaiki sebelum sepak mula Liga Malaysia bermula," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain