suria

Seluar 'Tight' Tak Wajib - Bibi

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menafikan dakwaan bahawa semua pemain The Red Warriors (TRW) diwajibkan untuk menutup aurat bermula kempen Liga Malaysia 2018.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Kafa hanya meminta penaja jersi Kelantan musim depan, Al-Ikhsan untuk menyediakan seluar 'tight' bagi pemain pasukan tersebut yang berminat untuk memakainya.

"Kita tak katakan semua pemain wajib tutup aurat. Sebenarnya kita meminta Al-Ikhsan untuk sediakan sekali seluar 'tight' tersebut," katanya kepada mStar Online.

Namun, Bibi berkata keputusan sama ada mahu memakai seluar 'tight' itu ditentukan oleh pemain sendiri, termasuklah pemain import.

"Pemain bebas nak pakai atau tidak. Kita hanya sediakan memandangkan ada beberapa pemain yang memakai seluar 'tight' itu sebelum ini," katanya.

Mohd Badri Radzi atau Piya antara pemain yang dilihat kerap memakai seluar 'tight' ketika beraksi di atas padang.

Pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu itu turut meluahkan rasa kesal dengan laporan sebuah portal berita yang dilihat sengaja mensensasikan isu tersebut.

"Saya minta supaya tolong henti jadikan Kafa sebagai sasaran pihak tertentu," katanya.

Malah, katanya, isu tersebut dilihat sengaja mahu menakut-nakutkan pemain lain, terutama pemain import untuk beraksi bersama Kelantan musim depan.

"Kita kena ingat, ada pemain yang selesa memakai seluar tersebut, ada yang tidak. Jadi terpulang kepada hak masing-masing," katanya.

Pada Sabtu, sebuah portal berita bahasa Melayu mendakwa Kelantan mewajibkan peraturan terbaharu itu bagi menggalakkan pemain lebih bertanggungjawab terhadap pematuhan syariah apabila terlibat dalam aktiviti sukan.

Peraturan itu didakwa bukan sahaja dikuat-kuasakan terhadap skuad senior kempen Liga Super tetapi juga pasukan Piala Belia, Piala Presiden selain skuad futsal lelaki dan wanita Kelantan.

TRW, Bibi Ramjani Ilias Khan

Artikel Sebelum

United Sedia Bida Semula Bale

Artikel Berikut

Conte Kekal Komited

Artikel Lain