suria

Sasaran Lima Terbaik Liga Super Menanti Almeida

Eduardo Almeida.

MELAKA: Setelah berjaya memastikan Melaka United (MU) terus kekal beraksi dalam Liga Super, Ketua Jurulatihnya Eduardo Almeida kini diberi sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik Liga Super pada musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusof Mahadi berkata sasaran itu merupakan salah satu daripada tiga sasaran diletakkan MU kepada Almeida, yang mana dua lagi ialah mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan memperbaiki prestasi pasukan dalam saingan Piala FA.

Beliau berkata dalam memastikan sasaran itu mampu dicapai jurulatih kelahiran Portugal itu perlu membawa perubahan besar kepada skuad negeri Hang Tuah itu dan MUSA akan memberi kebebasan sepenuhnya kepada Almeida bagi membuat pemilihan pemain, jurulatih serta pegawai teknikal.

“Kita beri kebebasan untuk beliau membentuk pasukan MU dengan acuan sendiri. Namun pada masa yang sama beliau perlu capai sasaran yang telah kita tetapkan untuk musim hadapan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.

Pada musim ini, MU berjaya menduduki tempat kelapan dalam Liga Super, layak peringkat suku akhir Piala Malaysia dan terkandas pada pusingan kelayakan Piala FA.

Almeida menyertai MU pada pertengahan musim ini menggantikan Eric Williams, dan jurulatih itu telah menandatangani sambungan kontrak selama setahun dengan pasukan berkenaan.

Selain Almeida, MU turut melantik Miguel Jose Leite dari Portugal dilantik sebagai Pengarah Teknikal, Vladmir Gramblicka dari Slovakia telah dilantik sebagai ahli fisio dan Joao Pedro Baptista dari Portugal dilantik sebagai pelatih fizikal bagi memantapkan lagi struktur pasukan musim depan.

Mengulas mengenai pemain, Mohd Yusof berkata pasukan MU akan mengambil tiga pemain import baharu antaranya dari Perancis dan Portugal bagi memantapkan jentera serangan pasukan.

“Kita gugurkan tiga pemain import yang sedia ada namun akan terus mengekalkan pemain dari Korea Selatan, Jeon Woo Young,” katanya. - BERNAMA

Melaka United, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Lain