suria

Bekas Pemain Kelantan Meninggal Dunia

PASIR PUTEH: Bekas pemain bola sepak Kelantan, Amjad Shah Hussain, 35, meninggal dunia subuh Rabu selepas beberapa bulan koma kesan penyakit angin ahmar yang dihidapinya sejak Mac lalu.

Amjad Shah disahkan meninggal selepas dirujuk ke Hospital Tengku Anis (HTA) dan keluarga menuntut jenazah jam 12.45 tengah hari untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Wakaf Berangan di sini, selepas solat Asar.

Isterinya, Zuliana Zainuddin,34, berkata, ketika dia memasukkan makanan melalui tiub kepada suaminya kira-kira pukul 2 pagi Rabu, Amjad Shah dalam keadaan seperti biasa walaupun tidak sedarkan diri.

Menurutnya, ketika dia bangun untuk menunaikan solat Subuh, dia mendapati suaminya sudah tiada dan segera dirujuk ke HTA.

"Dia mungkin meninggal antara jam 2.30 hingga 5 pagi, apa pun saya menerima ketentuan ini dengan hati terbuka, semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang-orang beriman," katanya.

Amjad Shah bermain untuk pasukan bola sepak Kelantan selama setahun pada 2004 dan kembali menyarung jersi Kelantan 2008 sehingga 2009 bersama rakan-rakannya seperti Mohd Badri Radzi (Piya) dan Farisham Ismail.

Sementara itu, rakan arwah, Mohd Yuzie Ibrahim berkata, Amjad Shah merupakan pemain bola sepak terbaik yang pernah lahir di daerah ini.

Katanya, arwah juga tidak kedekut ilmu dan sentiasa bersedia berkongsi pengalamannya dengan pemain yang lebih muda menerusi beberapa kelab di daerah ini.

"Walaupun tidak lama dia menyarung jersi Kelantan, khidmatnya kepada pemain baru tidak pernah terhenti sehinggalah dia jatuh sakit bulan Mac lalu," katanya. - Sinar Online

Kelantan, Amjad Shah Hussain

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain