suria

Vingada Atur Strategi Kemenangan

Foto Facebook FAM.

BURIRAM: Nelo Vingada menyedari perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara yang lama tertangguh dan bakal berlangsung Jumaat ini dan Isnin depan, bukanlah suatu masa yang paling selesa buat anak buahnya selepas mengharungi musim bola sepak tempatan yang panjang dan meletihkan.

Biarpun begitu, ketua jurulatih skuad bola sepak negara masih lagi menyasarkan kemenangan ke atas pasukan Korea Utara yang mempunyai ranking yang lebih tinggi.

“Perlawanan ditangguhkan tiga kali dan kini Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menganjurkan  perlawanan ini di venue  berkecuali. Untuk satu perlawanan adalah okey, tetapi dua perlawanan untuk kedua-dua pasukan di akhir musim, ia bukanlah masa yang paling selesa.

"Saya akur ia perlu tiba di akhir musim dan pemain JDT (Johor Darul Ta'zim) juga bermain di dalam final Piala Malaysia, jadi mungkin ia bukanlah masa yang sesuai , tetapi tiada pilihan. Mari kita teruskan,” kata warga Portugal itu ketika ditemui di sesi latihan di Stadium Buriram, Rabu.

Skuad Harimau Malaya tiba di Buriram yang terletak di 312km di timur laut Bangkok pada Selasa dan mengadakan latihan pertama mereka pada Rabu.

Skuad kebangsaan dijadualkan mengadakan latihan rasmi di venue perlawanan yang ditetapkan, Stadium i-mobile pada Khamis.

Menurut Vingada, mereka sudah merangka strategi  apabila berhadapan Korea Utara yang dijangka  memberi keputusan yang positif kepada pasukan kebangsaan.

“Rancangan kami ialah menghormati Korea Utara tetapi pilihan kami hanyalah untuk menang.  Saya  percaya dengan susun atur dan motivasi anak buah saya,” katanya.

Perlawanan Malaysia dengan Korea Utara sudah tertangguh hampir tujuh bulan sejak Mac tahun ini berikutan hubungan diplomatik yang tegang antara kedua-dua negara berikutan pembunuhan King Jong-nam abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), Februari lepas.

Perlawanan itu turut ditangguhkan kerana peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea berikutan pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara.  - BERNAMA    

Nelo Vingada, Harimau Malaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain