suria

Piala Malaysia: Perlawanan Seimbang, Pilih Kedah Juara

PETALING JAYA: Bekas pengendali Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah mengakui pertembungan akhir Piala Malaysia tahun ini seimbang.

Perlawanan akhir di antara Kedah dan Johor Darul Tak'zim (JDT) dianggap menarik dan sengit berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan.JDT yang baharu dinobatkan sebagai juara Liga Super untuk empat musim berturut-turut akan berdepan dengan Kedah selaku juara bertahan Piala Malaysia.

"Bagi saya perlawanan Kedah dan JDT di pentas akhir Piala Malaysia nanti adalah seimbang berdasarkan perlawanan terakhir Liga Super baru-baru ini.

"Kelebihannya sudah tentu kepada Kedah yang merupakan juara bertahan. Saya yakin mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan piala terus kekal di Kedah," ujarnya yang pernah membimbing Helang Merah musim 2004-2009.

Jurulatih kelahiran Kedah yang kini masih berehat daripada memegang sebarang pasukan memberitahu bahawa dari segi prestasi pemain serta corak kedua-duanya ada kelebihan tersendiri.

Malah di atas kertas, rekod Piala Malaysia lebih memihak kepada Kedah yang merupakan juara bertahan musim lalu serta prestasi semasa skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

"Kita dah tengok kedua-dua mereka berlawan sebelum ini dan boleh nilai daripada situ. Saya sudah tentu akan menyokong Kedah dan yakin kami akan menjuarai sekali lagi Piala Malaysia kali ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Perlawanan akhir Piala Malaysia bakal berlangsung di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.Untuk rekod, jurulatih Azraai yang pernah membawa Kedah menjulang Piala Malaysia untuk dua kali berturut-turut pada tahun 2007 dan 2008.

Manakala tahun lalu, Kedah menewaskan Selangor  6-5 menerusi penentuan sepakan penalti.

Final Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Marseille ‘Rehatkan’ Evra

Artikel Berikut

Artikel Lain