suria

Julang Trofi, Tapi Perarakan The City Boys Hambar

PETALING JAYA: Kebiasaannya mana-mana pasukan yang muncul juara dalam apa jua liga dipertandingan di seluruh dunia pasti akan diarak penyokong dalam suasana penuh gilang-gemilang.

Namun berbeza dengan pasukan Kuala Lumpur yang dinobatkan sebagai juara Liga Perdana 2017 apabila perarakan mereka bersama piala berkenaan di sekeliling ibu negara kira-kira pukul 2 petang Selasa dilihat hambar.

Sepatutnya perarakan membawa piala itu memberi peluang kepada penyokong tempatan yang tidak jemu dan setia menyokong jatuh bangun mereka untuk bersama-sama meraikan kejayaan tersebut.

Menerusi video berdurasi 17 minit 18 saat yang dimuatnaik dalam laman Facebook Kuala Lumpur The City Boys petang Selasa menyaksikan sorakan hanya kedengaran dalam kalangan pemain dan pihak pengurusan pasukan itu.

Perarakan itu boleh disifatkan sebagai paling hambar apabila tiada seorang pun penyokong yang hadir memeriahkan detik bersejarah tersebut.

Namun, pasukan itu cuba menghidupkan suasana perarakan dengan melambai-lambai ke arah orang ramai sambil menjulang trofi yang dimenangi mereka.

Netizen yang menyaksikan video tersebut secara live turut memberi pelbagai reaksi mengenai perarakan tersebut.

Muhammad Aidil Othman berkata:"Tak ada sambutan kasihan betul. Buat hari Sabtu la... ramai orang masa tu... sekadar pendapat."

Aron Osman berkata: "La kenapa tak umum awal-awal nak berarak? City Boyz nak keluar sokong ni!!!Grrr."

Mohd Rahimi Shamil berkata: "Sendiri sorak? Tulah buat lagi time orang kerja...  macam tak boleh tunggu malam je."

Namun ada dalam kalangan netizen yang mengucapkan tahniah kepada Kuala Lumpur di atas kejayaan mereka musim ini.

Kutty Iskandar Kutty berkata:"Tahniah, semoga The City Boys terus menguasai Liga Malaysia tahun depan. Kekalkan momentum sampai mati Kuala Lumpur."

Perarakan berkenaan bermula dari Pavillion - Jalan Bukit Bintang - KLCC - Jalan Ampang dan berakhir di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sejurus selepas itu, majlis penyampaian Piala Liga Perdana pula diadakan di Menara Seri Wilayah Putrajaya yang akan dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, petang Selasa.

Biarpun tewas 3-1 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam aksi terakhir liga musim ini namun trofi Liga Perdana sah menjadi milik Kuala Lumpur selepas Terengganu turut tumpas kepada PKNP FC dengan jaringan yang sama.

Kuala Lumpur dan Terengganu berkongsi 47 mata namun dipisahkan dengan perbezaan gol sekali gus membolehkan skuad kendalian Fabio Magrao menjuarai Liga Perdana buat kali pertama.

Malah kedua-dua pasukan itu bakal beraksi dalam Liga Super pada musim depan.

Skuad The City Boys tumpas dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada Jumaat lalu manakala Terengganu kalah 3-1 kepada PKNP FC di Stadium Perak.

Kuala Lumpur, Liga Perdana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain