suria

Hoki Piala Asia: Malaysian Tigress Raih Tempat Ke-3

Muhammad Dharma Raj Abdullah

KUALA LUMPUR: Pasukan  hoki wanita kebangsaan menamatkan perlawanan terakhir kumpulan A Kejohanan Piala Asia 2017 di tempat ketiga selepas tewas 0-2 kepada India sebentar  tadi di Stadium Kawasaki Green di Kakamigahara, Jepun, pada Selasa.

Turun dengan misi mencari kemenangan bertemu India, pasukan negara bermula dengan baik apabila berhasil mengikat pasukan ranking keenam dunia itu seri tanpa jaringan pada suku pertama dan kedua  perlawanan.

Namun pada 10 minit terakhir suku ketiga perlawanan, India memperoleh gol pertama menerusi gol padang hasil jaringan Vandana Katariya pada minit ke-54 sebelum Gurjit Kaur menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit kemudian untuk gol kedua.

Ketua Jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah tetap memberikan pujian kepada pasukan negara yang telah menunjukkan prestasi yang lebih mantap berbanding tahun sebelumnya.

“Kita main cukup bagus ....prestasi mereka adalah yang terbaik sejak 2016. Kita dapat lima pukulan sudut penalti berbanding India hanya tiga. Banyak peluang dan cubaan untuk jaringkan gol namun tidak memihak kepada pasukan negara,” katanya kepada media menerusi aplikasi WhatsApp.

India muncul juara kumpulan A diikuti China selaku naib juara dan Singapura ditempat keempat.

Kumpulan B menyaksikan Korea Selatan muncul juara dan Jepun, naib juara manakala Thailand dan Kazakhstan masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat.

Menanti Malaysian Tigress selepas ini adalah pasukan Jepun di suku akhir pada Khamis ini.

Hoki Wanita, Malaysian Tigress

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain