suria

AFC Denda FAM, Safiq

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak AS$42,500 (RM179,784) berikutan kesalahan penyokong semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017,  Ogos lepas.

AFC dalam laman web rasminya, www.the-afc.com, berkata Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC membuat keputusan tersebut pada mesyuaratnya, 27 Oktober lepas.

Mengikut laporan, FAM dikenakan denda AS$15,000 (RM63,452) setiap satu ekoran kesalahan penyokongnya semasa perlawanan Malaysia menentang Brunei pada 14 Ogos, dan aksi antara Malaysia dan Singapura pada 16 Ogos.

“Sekumpulan penyokong didapati melanggar Artikel 58.1 (Diskriminasi), dibacakan dengan Artikel 65.1 (Kelakuan Penonton) Kod Disiplin dan Etika AFC,” menurut laporan itu.

Dilaporkan bahawa penyokong Malaysia menyanyikan lagu yang tidak beretika terhadap pasukan lawan pada kedua-dua perlawanan tersebut.

“Denda tersebut hendaklah dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan tersebut diumumkan mengikut Artikel 11.3 kod berkenaan.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia juga dimaklumkan sekiranya kesalahan sama berulang, hukuman lebih berat akan dikenakan," kata laporan itu.

FAM juga didenda AS$7,500 (RM31,725) berikutan tindakan penyokong membakar mercun pada minit ke-87 semasa aksi Malaysia menentang Indonesia pada 26 Ogos, dan didenda AS$5,000 (RM21,152) kerana melanggar Artikel 64.1 kod tersebut disebabkan tindakan penyokong membaling 50 hingga 60 botol minuman ke padang semasa perlawanan antara Indonesia dan Kemboja pada 24 Ogos.

Selain  insiden semasa Sukan SEA 2017, FAM juga diarah membayar denda AS$7,500 (RM31,725) kerana kesalahan penyokong membaling 10 hingga 15 objek (botol dan bekas minuman) ke arah pengadil selepas aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 7 September.

Skuad kebangsaan juga didenda, masing-masing AS$6,000 (RM25,380) dan AS$5,000 (RM21,152), bagi kesalahan pasukan apabila beberapa pemain mengganggu pengadil, manakala jurulatih negara Eduardo Manuel Marthinho Vingada membuat komen dengan mengkritik pengadil semasa sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.

Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC juga mendenda ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim kerana terjahan berbahaya ketika aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober.

Safiq digantung satu perlawanan, termasuk satu penggantungan automatik selepas diperintah keluar padang setelah dilayangkan kad merah ketika perlawanan berkenaan.

“Penggantungan satu perlawanan itu akan dikenakan pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia berdepan Korea Utara pada 10 Nov ini.

“Safiq juga diarah membayar denda AS$1,000 (RM4,230) mengikut Artikel 48.2 Kod Disiplin dan Etika AFC,” menurut laporan itu. -Bernama

FAM, Safiq Rahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain