suria

Kelantan Tanpa Zahasmi Jumpa Melaka United

KOTA BHARU: Kelantan akan turun tanpa ketua jurulatihnya Zahasmi Ismail pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 28 Oktober ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata Zahasmi masih bercuti dan penolong jurulatih Kelantan Sathit Benson akan mengendalikan pasukan berkenaan.

"Persiapan Kelantan untuk perlawanan tersebut tidak terjejas walaupun perlawanan itu merupakan aksi penentuan sama ada Kelantan kekal atau tersingkir dalam saingan Liga Super musim depan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Bibi Ramjani berkata kesemua pemain menunjukkan komitmen yang tinggi, mungkin merasakan tanggungjawab mereka untuk memastikan Kelantan terus kekal beraksi dalam Liga Super 2018.

Beliau turut meminta penyokong pasukan Kelantan memberi sokongan padu bagi memastikan kemenangan pada perlawanan menentang Melaka United itu.

Mengenai pelesenan kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), beliau berkata Kafa telah menghantar permohonan kepada Lembaga Rayuan Pelesenan FAM bagi mendapatkan lesen tersebut.

"Kami  telah menghantar semua dokumen dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk mendapatkan lesen itu. Sehingga kini makluman awal yang diterima menyatakan Kafa telah memenuhi dokumen dan syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya dijangka mendapat keputusan berkaitan permohonan tersebut pada 30 Oktober ini. - BERNAMA

Zahasmi, Kafa

Artikel Sebelum

Ronald Koeman Dipecat

Artikel Berikut

Artikel Lain