suria

Jun Hoong Belum Fikir Sukan Olimpik 2020

KUALA LUMPUR: Ratu terjun dunia, Cheong Jun Hoong belum memikirkan mengenai penyertaannya pada Sukan Olimpik 2020, sebaliknya mahu memberi fokus pada setiap kejohanan sebelum temasya sukan berprestij itu berlangsung di Tokyo, Jepun.

Jun Hoong yang memecah dominasi China dengan merangkul pingat emas pertama negara di Kejohanan Akuatik Dunia dalam acara 110m platform di Budapest, Hungary pada Julai lepas, berkata beliau perlu berada dalam prestasi terbaik untuk melayakkan diri bersaing pada Sukan Olimpik itu.

"Untuk ke Olimpik bukan mudah, satu  kejohanan besar dan masa  pun masih lama lagi. Saya kena lalui dahulu Sukan Asia dan Sukan Komanwel untuk memastikan saya layak dan berada di Sukan Olimpik nanti," katanya di sini, Isnin.

Penerjun berusia 27 tahun itu kini sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan Asia di Indonesia dan Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, kedua-duanya berlangsung tahun depan.

Beliau yang akan menyertai Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) FINA 2017 di Pusat Akuatik Nasional  Bukit Jalil dari 26 hingga 29 Oktober ini, tidak mahu meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan itu kerana masih dibelenggu kecederaan di bahagian belakang badan.

Jun Hoong yang masih menuntut dalam jurusan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, beliau perlu konsisten dalam latihan dan menampilkan yang terbaik pada kejohanan di Bukit Jalil itu tanpa mahu meletakkan sebarang tekanan ke atas dirinya.

"Saya masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan belakang yang dialami semasa di Budapest. Saya tidak mahu terlalu memaksa diri, dan beraksi seperti biasa,” katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lovren Merajuk?

Artikel Lain