suria

Ini Pengalaman Terburuk Saya - Pique

PEMAIN pertahanan Barcelona, Gerard Pique, bersedia untuk menggantung but daripada tugas antarabangsa bersama Sepanyol.

Pendirian itu dibuat sekiranya jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui atau Persekutuan Bola Sepak Sepanyol mendapati dia bersalah setelah menyatakan sokongan terhadap tuntutan kemerdekaan Catalonia.

Dia membuat kenyataan beremosi itu sewaktu temubual selepas tamat perlawanan Barcelona menentang Las Palmas yang berlangsung di lokasi tertutup.

Perlawanan itu terpaksa diadakan di lokasi tertutup setelah berlaku protes dan keganasan sewaktu penyerahan referendum tidak rasmi mengenai tuntutan kemerdekaan Catalonia.

Menurut kenyataan rasmi, lebih 750 orang tercedera dalam insiden itu setelah pengawal keselamatan melepaskan peluru getah dan menggunakan baton ketika mereka bertempur dengan penunjuk perasaan.

Gambar Pique sedang membuang undi sewaktu pilihan raya pada Sabtu menjadi tular.

"Kamu undi ya, tidak, atau tinggalkan kosong, tetapi kamu tetap undi. Pada era  Franco, kami tidak boleh mempertahankan idea kami. Saya adalah warga Catalonia dan amat bangga menjadi warga Catalan," katanya.

Cubaan untuk menghalang undian oleh pihak berkuasa Sepanyol sehingga mencetus pertempuran disifatkan Presiden Catalonia, Carles Puigdemont sebagai tidak wajar, tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal.

Pique turut lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Mariani Rajoy.

"Selepas apa yang berlaku, ini pengalaman terburuk saya sebagai pemain profesional. Ia hari yang sukar buat saya. Terdapat keluarga, kanak-kanak dan orang tua, dan polis serta petugas keselamatan campur tangan," katanya.

Dalam pada itu, Barcelona sebelum ini telah meminta persatuan bola sepak Sepanyol untuk menangguhkan perlawanan menentang Las Palmas pada Ahad tetapi permohonan itu ditolak.

Barca bagaimanapun menang 3-0 ke atas Las Palmas.

Gerard Pique, Barcelona

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Weng Son Juara Dunia

Artikel Lain