suria

Eloklah Ada Penaja, Pelabur Untuk Kafa - Annuar

PETALING JAYA: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa menyambut baik tindakan ramai individu yang mahu merebut beberapa jawatan panas badan induk bola sepak negeri itu.

Jelas beliau, sambutan memberangsangkan itu merupakan satu perkembangan yang baik untuk bola sepak negeri tersebut.

"Syukur ramai yang akan bertanding merebut jawatan presiden Kafa, timbalan dan lain-lain. Ini satu perkembangan yang baik. Saya doakan kebaikan buat mereka dan bola sepak Kelantan," tulisnya di laman Facebook.

Bagaimanapun, beliau berharap setiap calon yang bertanding pada kongres pemilihan ke-63 Kafa, 17 September ini agar membuat 'kerja rumah' dan memahami skop tugas serta cabaran yang bakal dipikul.

"Kita semua akan berikan kerjasama dan bantu mereka asalkan mereka benar-benar ikhlas," katanya.

Malah, Annuar turut berharap agar individu yang sekadar menumpang tidak perlu berada dalam saf exco Kafa.

"Kafa dan TRW disyaratkan menjadi entiti komersil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Elok tempat dalam exco diberi keutamaan kepada penaja dan pelabur," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendoakan agar kongres pemilihan itu akan berlangsung dengan lancar.

"Selamat bersidang kepada Ahli Kongres KAFA pada 17 September ini," katanya.

Ketika ini, dua nama yang bakal bertanding jawatan presiden Kafa adalah pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu, Bibi Ramjani Ilias Khan dan Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Bibi yang juga usahawan kelahiran Kok Lanas sudah menghantar borang pencalonannya pada petang Rabu lalu.

Annuar Musa, Kafa

Artikel Sebelum

'Luar Biasa' Sarung Jersi Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain