MELAKA: Ribuan penyokong tegar pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya membanjiri Stadium Hang Jebat, Krubong bagi mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Hong Kong dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2019 pada Selasa malam.
Tinjauan Bernama mendapati keadaan cuaca yang tidak menentu tidak menghalang peminat bola sepak tempatan bagi mendapatkan tiket masing-masing dengan berbaris panjang di kaunter yang mula dibuka pukul 10 pagi tadi.
Rata-rata mereka masih mengharapkan magis dapat dilakukan oleh skuad kebangsaan untuk kembali bangkit bagi menebus kekecewaan tewas 1-2 kepada Lubnan pada 13 Jun lepas di Larkin, Johor dan tumpas 1-2 kepada Syria dan 0-1 kepada Myanmar dalam dua aksi persahabatan.
Mohd Fadzli Mohd Fadzal, 33, berkata dia yang tinggal di Jasin mahu menonton aksi skuad kebangsaan secara langsung di stadium bagi menyemarakÂkan lagi semangat Harimau Malaya agar tampil dengan aksi yang meyakinkan.
"Meskipun sedar Malaysia berdepan dengan laluan sukar kerana tewas sebelum ini, namun mereka perlu mengekalkan semangat untuk terus berjuang dengan mempamerkan taktikal dan corak permainan yang mana semakin menunjukkan perubahan positif.
"Bagaimanapun, saya berharap agar pihak berkenaan dapat mengurangkan harga tiket memandangkan ini hanya aksi kelayakan demi menarik kehadiran lebih ramai penonton ke sini (stadium)," kata jurutera itu kepada Bernama.
Tiket dijual pada harga RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun.
Sementara itu, Azwan Azemi, 34, yang merupakan seorang pensyarah optimis bahawa badi tiga kekalahan yang dihadapi Harimau Malaya akan berakhir malam ini hingga membuatkan dia sanggup hadir ke stadium bagi menyatakan sokongan kepada skuad kebangsaan yang bakal berjuang.
"Mungkin beraksi di gelanggang sendiri akan membawa kelebihan kepada mereka lebih-lebih lagi di hadapan penyokong sendiri,” katanya yang bertugas di Negeri Sembilan dan memperoleh tiket menerusi rakannya.
Pekerja sektor swasta Shahrul Ali, 27, berharap ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Nelo Vingada dapat menyusun strategi baharu bagi mengukuhkan barisan serangan skuad itu.
"Saya harap jurulatih membuat percaturan sewajarnya bagi 'menajamkan' bahagian serangan untuk merobek gawang lawan kerana berdasarkan daripada corak permainan yang ditunjukkan sebelum ini, jelas bahagian serangan kita masih tumpul terutamanya 'finishing'.
"Semua pemain juga perlu mempunyai kekuatan daripada segi mental dan fizikal di samping tidak mudah menyerah kalah kepada pasukan lawan disebabkan perasaan rendah diri. Kita perlu yakin bahawa kita juga mampu memberi tentangan dan bukan 'pasukan belasahan'," tegasnya.
Aksi Harimau Malaya menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat yang berkapasiti 40,000 penonton merupakan perlawanan keempat di bawah pimpinan Vingada bagi pusingan kelayakan Piala Asia 2019.


