suria

Para Asean: Skuad Olahraga Sasar 40 Pingat Emas

Ridzuan (kiri) disandarkan dengan tiga sasaran emas pada Sukan Para Asean bermula 17 September ini.

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga paralimpik menyasarkan 40 pingat emas daripada 133 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para Asean ke-9 yang membuka tirainya bermula 17 hingga 23 September ini.

Pengurus pasukan, Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata kem olahraga yang terdiri daripada 72 atlet sudah bersedia untuk membantu menyahut sasaran 103 pingat emas yang ditetapkan bagi kontinjen negara.

Katanya beliau mahu mengatasi pencapaian di Singapura yang mengumpul 27 pingat emas keseluruhannya, dua tahun lepas.

"Kali ini kita tampilkan 24 atlet muda yang pertama kali wakili negara. Mereka berada pada tahap terbaik dan persiapan untuk atlet muda kita sudah buat sejak dua tahun lalu.

"Saya harap dengan adanya atlet yang sudah berpengalaman dan atlet baru ia dapat menyumbang kepada pungutan pingat yang ditetapkan," katanya pada sidang media Kita Juara Para Asean, pada Selasa.

Ketua jurulatih, R. Jaganathan berkata skuad olahraga sering diberikan tekanan meraih pingat emas namun beliau percaya tekanan tersebut akan memberi semangat kepada atlet-atlet paralimpik untuk mencapai sasaran.

"Temasya kali ini banyak acara digabungkan jadi kita banyak kehilangan pingat emas namun kita sudah mencari atlet untuk menampung balik pungutan pingat tersebut.

"Memang dari segi cabaran saya lihat banyak datang dari skuad Thailand… negara lain saya tidak pasti kerana mereka jarang hantar wakil ke kejohanan luar negara," katanya.

Katanya skuad Thailand dilihat mempamerkan peningkatan prestasi yang lebih baik berbanding pasukan negara lain.

Jaganathan berkata beliau lebih mementingkan pingat emas berbanding perbaiki rekod bagi atlet senior namun mahu atlet muda mencipta rekod baharu.

Dia turut meletakkan sasaran tiga pingat emas untuk atlet paralimpik kebangsaan, Mohamad Ridzuan Puzi dalam acara 100m T36 (celebral palsy), 200m dan 400m. -Bernama

Sukan Para Asean

Artikel Sebelum

Isyarat Lucah Untuk Walker - Alli

Artikel Berikut

Peluang United Sambar Griezmann

Artikel Lain