suria

Khairul Hafiz Fokus Sukan Komanwel, Asia

KUALA LUMPUR: Raja Pecut Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Khairul Hafiz Jantan kini mengalih fokus ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia selepas meraih emas Sukan SEA sulungnya.

Atlet berusia 19 tahun dari Melaka itu mempunyai impian untuk mengharumkan nama olahraga negara di peringkat lebih tinggi, untuk membuktikan bahawa pelari pecut dari Malaysia masih mampu menjadi pesaing utama pada peringkat itu.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara 100m lelaki Sukan Asia ialah pada 35 tahun dahulu, menerusi Datuk Rabuan Pit di edisi 1982 di New Delhi, India.“Sukan Komanwel dan Asia penting bagi saya untuk menunjukkan orang luar bahawa atlet dari Malaysia boleh menjadi pencabar utama mereka,” katanya pada pemberita selepas majlis penghargaan daripada Universal Fitness  and  Leisure (UFL)-Suunto pada Selasa.

Terdahulu Khairul Hafiz, yang merupakan duta UFL-Suunto Spartan menerima insentif sebanyak RM2,000 daripada Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan atas kejayaan meraih pingat emas 100m lelaki KL2017 selepas mencatatkan 10.38s, dua minggu lalu

Ditanya jika ada perancangan untuk mendapatkan khidmat jurulatih baharu sebagai persediaan ke Sukan Asia, Khairul Hafiz berkata beliau tiada niat untuk berpisah dengan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim yang telah bertungkus-lumus untuk menjadikan beliau sebagai juara Asia Tenggara.

“Saya tak nak berpisah kerana beliau dia yang ambil saya dari kosong sampai berjaya sekarang. Kalau ada kerjasama di antara cikgu Poad dan jurulatih lain, mungkin ok, sebab dia yang tahu semua mengenai diri saya, cara latihan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata pihaknya hanya mempunyai perancangan mereka satu program khas kepada Khairul Hafiz, tetapi buat masa ini tiada perancangan untuk menukar jurulatih.

“Saya belum ada perancangan untuk menukar jurulatih, tetapi saya akan bincang denga Poad kerana kerana Khairul Hafiz pun agak selesa dengan beliau. Kita tidak boleh tepikan Poad yang bekerja selama ini untuk hasilkan beliau.

“Ikut perancangan KOM, nak hantar Khairul Hafiz menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia di Birmingham, England pada Mac depan...beliau perlu melepasi masa kelayakan 6.63s bagi acara 60m. Dari situ baru persediaan ke Sukan Komanwel dan Asia akan bermula,” katanya.

Khairul yang sedang menjalani rawatan pemulihan dengan Institut Sukan Negara (ISN) selepas mengalami kecederaan otot paha ketika KL2017, dijangka kembali menjalani latihan dalam masa dua minggu lagi, sebagai persediaan ke Kejohanan Olahraga Dalam Dewan itu.

Mohd Poad pula tidak mahu terburu-buru dalam meletakkan sasaran pingat kepada Khairul Hafiz dan mahu anak buahnya itu menjalani perkembangan prestasi mengikut kematangan umur, fikiran dan ototnya secara bersama.“Dia masih muda, saya tak nak kita terlampau rakus untuk dapatkan pingat Sukan Asia.

Oleh kerana ini merupakan kali pertama beliau bakal menyertai Sukan Asia, saya hanya sasarkan kedudukan lapan terbaik,” katanya.-Bernama

Khairul Hafiz

Artikel Sebelum

Simeone Sambung Kontrak

Artikel Berikut

Artikel Lain