suria

Thanabalan Akan ‘Score’ Lagi, Ibu Emas Milik Malaysia

Thanabalan meraikan kejayaan pasukan selepas menundukkan Myanmar bersama rakan sepasukan, Safawi Rasid. foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star.

PETALING JAYA: Tukang sorak negara, Mansor Abdul Khoni yakin penyerang Felcra, N.Thanabalan akan menjaringkan satu lagi gol pada aksi final bola sepak Sukan SEA antara Malaysia dan Thailand di Stadium Shah Alam, malam Selasa.

"Naluri saya amat yakin Thanabalan akan score (jaringkan) satu lagi gol malam ini. Dia bijak mengambil peluang yang ada di depan mata. Ia sekali gus menjadikan dia penjaring terbanyak pada temasya Sukan SEA kali ini.

"Saya harap dia bersama pemain lain akan kekalkan momentum terbaik dalam usaha memenangi pingat emas di gelanggang sendiri malam ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Setakat ini, Thanabalan sudah menjaringkan empat gol pada aksi terdahulu.

Pada masa sama, Mansor atau lebih dikenali sebagai Tok Mo turut meramalkan Malaysia akan menamatkan kemarau pingat emas enam tahun lalu dengan menang 2-0 ke atas negara gajah putih itu.

"Selepas melihat prestasi cemerlang pasukan negara, saya amat yakin pingat emas akan jadi milik kita kali ini.

Tok Mo.

"Namun, semua pemain perlu berusaha keras dan tidak melakukan sebarang kesilapan sehingga ke wisel penamat," katanya.

Jelas Tok Mo atau popular dengan jolokan Bomoh Sukan Malaysia, beliau akan hadir bersama 30 ahli Kelab Penyokong Sukan Malaysia (Famemas) untuk memberikan sorakan padu kepada skuad negara.

"Kami akan hadir memeriahkan suasana Stadium Shah Alam malam ini. Ayuh kita sama-sama gamatkan stadium dan doakan kejayaan skuad negara kita," katanya.

Sementara itu, Tok Mo turut mengingatkan semua penyokong yang hadir malam ini supaya mengawal perasaan dan tidak mencetuskan sebarang kekecohan.

"Kawal diri anda dan jadilah penyokong yang berdisiplin. Marilah kita beri sokongan dengan semangat kesukanan yang tinggi," katanya.

Malaysia melayakkan diri ke pentas final melalui gol sensasi Thanabalan pada minit ke-87 ketika berdepan Indonesia, Sabtu lalu.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Sukan SEA adalah pada temasya di Indonesia 2011, iaitu dua tahun selepas merangkul kejuaraan pertamanya dalam tempoh 20 tahun temasya Laos 2009.

N.Thanabalan, Tok Mo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Milik Siapa?

Artikel Lain