suria

Z Pilihan Ziyad Namakan Anak

KUALA LUMPUR: Huruf Z menjadi pilihan untuk menamakan puteri sulung kepada jaguh lontar peluru paralimpik dunia.

Mohamad Ziyad Zolkefli memberitahu, huruf Z dipilih sebagai gabungan namanya dan isteri, Zafirah Mohd Nasir.

"Tetapi sekarang ini kami hanya ada huruf Z sahaja masih berbincang untuk nama penuh. Kalau ok kami mahu dua nama. Yang penting bermula dengan Z.

"Dalam sehari dua lagi saya akan uruskan pendaftaran anak saya itu," ujarnya kepada mStar Online pada Khamis.

Ziyad memberitahu, kebahagiaan menyambut orang baharu tentunya dirasai oleh kedua-dua belah keluarga.

"Saya sangat bersyukur kerana di hospital sebelum ini pun meriah, balik rumah pun meriah. Seperti saya buat rumah terbuka.

"Apa yang lebih penting doa saya untuk bersama isteri ketika melahirkan bayi ini tercapai dan kedua-duanya sihat.

"Buat masa sekarang isteri dan anak dijaga oleh emak dan bergilir-gilir dengan mertua saya, " ujarnya.

Dalam pada itu, Ziyad mengakui kelahiran bayi perempuannya itu adalah tepat pada waktunya.

"Ketika di London (Kejohanan Para Dunia) hati sentiasa fikirkan isteri yang sarat mengandung di rumah. Bagaimanapun saya tetap berjaya melakukan yang terbaik.

"Dan apabila semuanya sudah selamat, saya yakin akan melakukan yang terbaik lagi pada aksi Sukan SEA nanti.

"Bermain di tempat sendiri adalah kelebihan dan saya akan cuba pecahkan rekod sekali lagi. Saya tidak pernah puas untuk mencatat rekod baharu.

"Yang penting saya dapat momentum sebelum saingan bermula," jelasnya mengenai penampilan Sukan SEA bermula 19 Ogos ini.

Untuk rekod, Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia miliknya dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran)  di London Julai lalu.

Juara dunia itu melakukan lontaran sejauh 17.29 meter (m), mengatasi rekod lama 16.48m yang dilakukannya di Sukan Olimpik Rio 2016.

Ziyad, Paralimpik, Para Asean, Para

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain