suria

Leukimia: Anak-Anak Semangat Hamdan

Hamdan (baju biru) turut menerima kunjungan Presiden Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar (kiri)dan Izham Ismail (CEO)baru-baru ini.

PETALING JAYA: Penjaga gol pasukan PDRM, Muhammad Hamdan Sairi menunjukkan tindak balas positif selepas menjalani rawatan kimoterapi kedua minggu lalu.

Menurut isterinya Nordiani Abdul Rahim, keadaan Hamdan lebih positif berbanding ketika sesi pertama kimoterapi sebelum ini.

"Sesi kedua kelihatan dia lebih tenang. Badannya mungkin sudah boleh menerima rawatan kimoterapi itu. Saya agak sedih melihatnya ketika mula-mula menjalani rawatan itu.

"Cuma doktor sukar memberi tempoh rawatan kimoterapi ini berdasarkan situasi semasa, terutamanya platelet darah.

"Namun buat masa sekarang dia menunjukkan tindak balas positif, lebih-lebih lagi berat badannya juga sudah bertambah," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Hamdan,30, yang disahkan menghidap penyakit leukimia telah menjalani rawatan kimoterapi pertama pada 19 Jun, disusuli sesi kedua pada 27 Julai lalu.

Jelas Nordiani, semangat yang ada dalam jiwa Hamdan antara faktor utama dia mampu melawan penyakitnya itu.

"Anak-anak adalah semangatnya. Saya sendiri kadang-kala tidak sanggup melihat kesakitannya. Saya yakin dia akan cepat sembuh kerana Hamdan seorang yang cekal.

"Saya harap dengan sokongan penuh keluarga, kawan-kawan segala penderitaannya itu akan hilang," ujarnya.

Bapa kepada tiga cahaya mata berusia antara tiga hingga lima tahun itu memerlukan tempoh tiga tahun untuk pulih sepenuhnya.

Kepada pihak yang ingin membuat sumbangan bagi meringankan beban Hamdan, anda boleh terus menghubungi isterinya iaitu Nordiani Abdul Rahim di talian 012-2115392.

Hamdan, Leukimia

Artikel Sebelum

Latif Lega Ibu Makin Sembuh

Artikel Berikut

Artikel Lain