suria

Terengganu Lawan Sukar - JDT

Morais semasa sesi latihan bersama anak buahnya.

PETALING JAYA: Pasukan Johor Darul Tazim (JDT) mengakui Terengganu bukan lawan mudah untuk dijinakkan menjelang pertembungan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam Selasa.

Ketua Jurulatih JDT, Ulisses Morais berkata mereka menyedari kehebatan skuad Penyu dan yakin anak buah Irfan Bakti itu tidak akan melepaskan tiga mata dengan mudah.

"Kami menjangkakan perlawanan pada malam ini akan menjadi antara perlawanan yang sukar kerana pastinya mereka turut memburu kemenangan bagi mendapatkan tiga mata berharga," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Bagaimanapun, Morais berkata perlawanan tersebut juga amat penting bagi skuad Harimau Selatan itu kerana ia merupakan peluang mereka untuk menempah slot ke pusingan suku akhir.

"Persiapan kami menjelang perlawanan bertemu pasukan Terengganu pada malam ini berjalan dengan lancar. Sudah semestinya kami mahu memburu tempat bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia," katanya.

Mengenai kesebelasan utama untuk perlawanan malam ini, Morais berkata barisan kejurulatihan sepakat menurunkan pemain yang mampu mempertahankan matlamat kami dengan baik.

"Namun persiapan dari segi mental dan fizikal sahaja tidak mencukupi tanpa laungan kata-kata semangat serta sokongan padu bagi meningkatkan lagi keyakinan pasukan ketika berhadapan pasukan lawan," katanya.

Untuk rekod, JDT pernah terikat seri tanpa jaringan dengan Terengganu pada 7 Julai lalu.

Saingan Kumpulan D menyaksikan JDT kekal di tangga kedua, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Selangor.

Terengganu pula di kedudukan ketiga dengan mengutip tiga mata daripada empat perlawanan setakat ini.

Pertemuan suku akhir pertama akan berlangsung pada 15 dan 16 September depan.

Piala Malaysia, JDT, Terengganu

Artikel Sebelum

Pertembungan Hidup Mati

Artikel Berikut

Artikel Lain