suria

Selangor Turun Tanpa Empat Tonggak

Amri Yahyah (tengah) terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan.

PETALING JAYA: Skuad Red Giants bakal turun tanpa empat tonggak utama bagi menghadapi Sarawak dalam saingan peringkat Kumpulan D Piala Malaysia, malam Rabu.

Pengendalinya, P. Maniam berkata pemain yang terpaksa diketepikan adalah Rufino Segovia, Francis Forkey Doe, Amri Yahya dan Andik Vermansyah.

Katanya, keempat-empat pemain itu masih bergelut dengan kecederaan.

"Kita ada ramai pemain yang cedera... Rufino, Forkey Doe, Amri dan Andik tidak akan diturunkan. Jadi kita akan buat rotation dengan menurunkan pemain muda yang digandingkan dengan pemain senior untuk aksi malam esok," katanya kepada mStar Online.

Meskipun Selangor sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, P. Maniam tetap mengingatkan anak buahnya supaya tidak ambil mudah pasukan Sarawak.

"Kalau kita tengok Sarawak tak ada peluang tapi saya yakin mereka akan bermain all out untuk mencipta kemenangan. Jadi pemain tak boleh ambil mudah. Mereka perlu bermain bersungguh-sungguh," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa mana-mana pemain muda yang diturunkan malam Rabu untuk memanfaatkan peluang yang diberikan dengan mempamerkan prestasi terbaik mereka.

"Saya beritahu mereka perlu bermain bersungguh-sungguh dan kena ambil peluang dengan cepat. Mereka juga harus bermain dengan komitmen yang tinggi," katanya.

Walaupun dengan ketiadaan empat tonggak utama itu, P. Maniam tetap menaruh kepercayaan penuh terhadap pemain yang akan diturunkan nanti.

"Saya tetap yakin dengan keupayaan pasukan. Saya sentiasa beritahu mereka prestasi individu dan persembahan keseluruhan amat penting untuk kemenangan pasukan," katanya.

Selangor menjadi pasukan terawal dari kumpulan D menempah laluan ke suku akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Terengganu 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu.

Pasukan Merah Kuning itu mendahului carta Kumpulan D dengan 10 mata, lebih tiga mata di depan pendahulu Liga Super, Johor Darul Tazim (JDT).

Selangor, Piala Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pertembungan Hidup Mati

Artikel Lain