suria

FAM Tidak Pilih Kasih Dalam Menghukum - TMJ

KUALA TERENGGANU: Tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kata presidennya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya, semua pemain dan pegawai tanpa mengira pangkat dan kedudukan adalah tertakluk kepada peraturan dan sesiapa sahaja sekiranya melakukan kesalahan tetap akan dihukum.

“Undang-undang tetap undang-undang, mudah sahaja...semua orang perlu mematuhinya,”kata ketika mengulas hukuman terhadap jurulatih Pahang, Dollah Salleh, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM, di sini, Sabtu.

Kelmarin, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman gantung 18 bulan dan denda RM30,000 teerhadap Dollah kerana mengecam urusan pentadbiran hal ehwal FAM membabitkan pengadilan Liga Malaysia selepas perlawanan Pahang bertemu Felda United, 1 Julai lepas.

Pahang tewas 2-1 kepada Felda United pada perlawanan itu.  Tunku Ismail berkata  hukuman terhadap Dollah membuktikan tidak wujud pilih kasih dalam aspek penguatkuasaan peraturan FAM, malah beliau sendiri pernah digantung enam bulan dan didenda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 2013.

Tunku Ismail dikenakan hukuman tersebut ketika menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kerana mengkritik mutu pengadilan Liga Malaysia pada 2013.

Selain itu, katanya, bekas timbalan presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pernah digantung dua tahun setengah pada 2012 kerana didapti membuat kenyataan berbau negatif mengenai skuad kebangsaan.

“Jadi tiada orang yang mampu melepasi perundangan. Pada awalnya saya ingatkan struktur FAM  sahaja macam ini tetapi apabila saya banyak bertanya dan belajar, saya dapati perkara sama jugak seperti di England,” katanya.

“Kita boleh komen mengenai prestasi pengadil tetapi ada beberapa perkara yang kita tidak boleh bercakap...dan apa yang Dollah Salleh katakan adalah ‘direct accusation' (dakwaan secara langsung)...seolah-olah pihak atasan mengatur perlawanan,” katanya.

Tambah Tunku Ismail, tuduhan Dollah itu seolah-olah menuduh pihak  atasan mengatur perlawanan atau menuduh dirinya sendiri (Tengku Ismail) mengatur perlawanan.

“Kalau pihak atasan mengatur perlawanan atau tuduhan terhadap saya mengatur perlawanan JDT dah menang Piala FA Cup. Betul tak? Jadi di mana datangnya idea ada mengatur perlawanan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Dollah mempunyai tempoh 10 hari bermula semalam untuk mengemukakan rayuan dan ia akan diputuskan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ditetapkan dalam FAM.

Sementara itu, mengenai mutu pengadilan, Tengku Ismail berkata FAM telah mengambil beberapa langkah termasuk memanggil  pakar luar negara untuk memberi pendedahan kepada pengadil tempatan.

“Mutu pengadilan masih lemah lagi dan perlu diperbaiki. Apa sahaja ruang atau peluang yang kita ada untuk perbaiki mutu pengadil kita akan buat,”katanya.

Beliau turut menggesa pihak pengurusan pasukan supaya memiliki pengetahun tinggi dalam sukan itu dan bersikap profesional dan bukan hanya menyalahkan pengadil semata-mata. -- Bernama  

TMJ, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain