suria

Dollah Salleh Digantung 18 Bulan, Denda RM30,000

KUALA LUMPUR: Kritikan pedas Dollah Salleh berkaitan mutu pengadilan mengakibatkan pengendali Pahang itu digantung 18 bulan dan didenda RM30,000.

Hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkuat kuasa Jumaat, selepas diputuskan Jawatankuasa Tatatertib persatuan itu menerusi mesyuarat pada Khamis.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan media di laman rasmi badan induk itu, Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, berkata Dollah didapati melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.

Katanya, tindakan Dollah membuat kenyataan di ruangan media berhubung isu melibatkan persatuan itu tanpa kebenaran badan induk itu, secara terus boleh memberi impak terhadap imej FAM.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu turut dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM membabitkan pengadilan Liga Malaysia (Liga M) selepas perlawanan Pahang bertemu Felda United, pada 1 Julai lalu. Pahang tewas 1-2 kepada Felda United pada perlawanan itu.

Katanya, jawatankuasa memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM yang mana defendan dikenakan penggantungan sembilan bulan pertama (21 Julai 2017 hingga 20 April 2018), manakala baki sembilan kedua (21 April 2018 hingga 20 Januari 2019) ditangguh.

"Ia tertakluk kepada kepada kelakuan baik defendan dan jika kesalahan sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan pertama, hukuman penggantungan sembilan bulan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta," katanya yang memaklumkan hukuman itu boleh dirayu.


Dollah Salleh, FAM

Artikel Sebelum

Liverpool Ikat Robertson

Artikel Berikut

Artikel Lain